Indigo (tengah) bersama abangnya, Devon (kiri) dan Shade di rumah mereka di Manawatu, North Island, New Zealand. – AGENSI
WELLINGTON 7 Dis. – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan, mengalami sejenis penyakit aneh yang menyebabkan badannya membesar sehingga mencapai saiz seperti kanak-kanak berusia lima tahun.
Bayi berkenaan, Indigo Nowakowsky-Kaiuha dari Manawatu, North Island, New Zealand mengalami Sindrom Beckwith-Wiedemann yang hanya dialami seorang daripada 15,000 bayi dan beratnya kini mencapai 25 kilogram yang menyebabkan dia memerlukan kerusi khas ketika menaiki kereta.
Sindrom itu juga menyebabkan bayi tersebut mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk pergerakan terhad dan masalah pernafasan selain kemungkinan mengalami masalah untuk berjalan pada masa akan datang.
Laman web, Mail Online melaporkan, Indigo dikesan menghidap sindrom terbabit ketika berusia empat bulan selepas berat badannya didapati meningkat secara mendadak.
Selain itu, ketika Indigo dilahirkan, dia mengalami masalah kesihatan serius seperti hernia, masalah bendalir dalam badan, organ dalaman membesar serta risiko barah.
Menurut ibunya, Tiffany, doktor menjalankan beberapa ujian darah dan kini mereka sedang menunggu hasil ujian sama ada sindrom itu adalah genetik atau tidak.
Selain itu, keluarga tersebut turut mengalami masalah kewangan ekoran penyakit yang dialami Indigo yang memaksa mereka membayar kos perubatan dan membeli pakaian untuk bayi itu dan kos penjagaan dua anak lelakinya, Shade, 6, dan Devon, 4.
“Kami berasa tertekan memikirkan sama ada Indigo mampu berjalan atau merangkak suatu hari nanti. Kami juga terpaksa menanggung masalah kewangan dengan kos perubatan yang berterusan serta terpaksa membeli pakaian baharu dengan kerap,” katanya.
Tiffany baru-baru ini melancarkan kempen kutipan dana secara online, Our Beautiful Indigo’ dalam usahanya untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk keluarga dan berharap usahanya itu dapat meringankan beban yang ditanggung.
No comments:
Post a Comment