Kopi lanang berbeza dengan buah kopi lain kerana hanya memiliki biji tunggal dipercayai mampu menguatkan tenaga lelaki.
KEDIRI, Jawa Timur – Penduduk Indonesia yang tinggal di lereng Gunung Wilis di daerah ini, mendedahkan satu daripada rahsia bagi menambah keperkasaan atau tenaga bagi lelaki adalah dengan meminum kopi.
Namun, bukan sebarang kopi yang dimaksudkan penduduk kampung kerana dakwa mereka, hanya kopi lanang yang mampu memberi tenaga tambahan kepada lelaki, selaras dengan nama lanang itu sendiri yang bermakna lelaki dalam bahasa Jawa.
Kopi lanang diperbuat daripada buah kopi yang berbiji tunggal yang berbeza daripada biji kopi lain.
Menurut Kompas.com, jika luar kulit kopi itu dibuka, di buah kopi itu hanya terdapat satu bahagian biji tanpa ada belahan.
Selain itu, buah kopi lanang berbentuk bulat dan lonjong serta berbeza dengan biji buah kopi biasa yang mempunyai dua bahagian.
Penduduk tempatan, Rudi Hartono berkata, kepercayaan tentang khasiat kopi lanang dapat menguatkan tenaga lelaki sudah dimiliki secara turun temurun dari nenek moyangnya dan kekal sehingga sekarang.
Katanya, secara kebetulan, di wilayah Besuki banyak terdapat kebun kopi sehingga sebuah kilang kopi pernah wujud di situ semasa zaman penjajahan Belanda.
“Kopi lanang mampu memberi tenaga tambahan kepada peminumnya,’’ katanya yang berasal dari Kampung Besuki, mukim Mojo, Ahad lalu.
Menurut Rudi, 43, terdapat pelbagai kaedah bagi menggunakan kopi lanang sama ada dikunyah mentah atau dikunyah selepas dibakar.
Selain itu, kopi itu juga boleh diminum seperti cara kebiasaannya.
“Kopi ini juga mempunyai rasa yang hampir sama dengan kopi luwak, namun lebih pahit.
“Saya sendiri biasa mengunyah biji kopi ini selepas dibakar seperti makan makanan ringan,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment