Pages

Saturday, October 18, 2014

Penyelidik temui senjata purba


SEJENIS senjata purba yang ditemui di Gunung Padang, Indonesia. - AGENSI
JAKARTA, Jawa Barat - Para penyelidik di Indonesia menemui sejumlah artifak unik dan sejenis senjata khas purba yang diperbuat daripada logam dalam satu ekskavasi di Gunung Padang, Jawa Barat, baru-baru ini.
Jurucakap pasukan ekskavasi tersebut, Ali Akhbar berkata kepada Kompas.com, artifak yang ditemui itu telah diteliti dan didapati merupakan buatan manusia zaman prasejarah.
"Artifak prasejarah ini adalah batuan yang telah dipotong disemua bahagian permukaan dan dikikis serta digosok sehingga menjadi lebih halus," ujarnya.
Jelasnya, para penyelidik kini sedang berusaha untuk membawa artifak itu ke makmal di Jakarta untuk dianalisa dengan lebih lanjut.
"Kami mempunyai sejenis alat yang diberi nama mikrotemografi. Ia mampu mengklasifikasikan artifak yang ditemui itu berasal dari zaman bila," jelasnya.
Katanya lagi, senjata itu kemungkinan mengandungi zat-zat yang terlekat daripada tumbuh-tumbuhan atau telah digunakan untuk menebang pokok atau benda lain.
"Artifak senjata ini ditemui minggu lalu di bahagian teras kelima di selatan. Ia tertanam sangat dalam dan kami akan bawanya ke makmal di Jakarta untuk diteliti," katanya.
Selain itu, para penyelidik turut menemui beberapa artifak tembikar yang membuktikan bahawa manusia ketika itu sudah mampu menghasilkan perkakasan tembikar daripada tanah liat.
Hasil penelitian pakar tembikar didapati artifak perkakasan itu diperbuat menggunakan teknik tekanan tangan dan bukan putaran roda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141018/lu_07/Penyelidik-temui-senjata-purba#ixzz3GRl8EgOq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: