Pages

Saturday, October 11, 2014

Pengukir hasilkan kereta daripada kayu jati


Pekerja sedang menyiapkan ukiran model kereta Mercedes Benz Gullwing yang ditempah pelanggan.
BOYOLALI, Jawa Tengah - Sekumpulan pengukir berkemahiran tinggi di sini, mempamerkan kehebatan mereka apabila menghasilkan ukiran kayu jati berbentuk kereta mewah dalam saiz sebenar termasuk model kenderaan klasik seperti Jaguar, Roll Royce, Limosin, Ferrari dan Harley Davidson.
Pemilik bengkel seni ukiran, Eko Lukistyanto, 43, berkata, ukiran yang dihasilkan mendapat sambutan hebat daripada pembeli luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS), England, Jerman dan beberapa negara Eropah lain.
Tinjauan suaramerdeka.com baru-baru ini di bengkel Tetap Jaya Art mendapati, mereka menghasilkan model kereta Bugatti Veyron Super Sport yang melibatkan proses ukiran yang sangat teliti dan seolah-olah menyamai model sebenar kereta tersebut.
Lebih mengagumkan ukiran itu mempamerkan butiran terperinci kereta tersebut termasuk rim aloi, bahagian dalam yang dilengkapi stereng kayu yang dicat dengan kemas sehingga tidak menampakkannya dihasilkan daripada kayu.
Menurut Eko, kebiasaannya model yang ditempah pelanggan mengambil masa tiga minggu sehingga sebulan untuk menyiapkan arca kereta atau motosikal, bergantung kepada kerumitan model berkenaan.
"Pada mulanya, ayah saya, Widodo mula terlibat dalam ukiran model mini motor dan kereta klasik pada 1994 sebelum saya memberi idea kepadanya untuk menghasilkan model dalam saiz sebenar pada 2005.
"Saya tidak sangka perbualan orang tentang usaha kami ini mendapat sambutan sehingga ke luar negara terutamanya syarikat automotif dan restoran yang mahu mempamerkan seni tersebut di bilik pameran dan premis perniagaan mereka," katanya.
Setiap ukiran yang dihasilkan dijual dengan harga antara 35 juta rupiah (RM9,346) dan 75 juta rupiah (RM20,028), bergantung kepada model yang ditempah oleh pelanggan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141011/lu_08/Pengukir-hasilkan-kereta-daripada-kayu-jati#ixzz3FmkA1ng7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: