Pages

Thursday, September 11, 2014

Tiga angkasawan Russia, Amerika kembali ke Bumi



Dua angkasawan Russia dan seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS), Alexander Skvortsov (tengah), Oleg Artemyev (kiri) dan Steven Swanson bergambar bersama pasukan penyelamat sebaik mendarat dengan kapsul Soyuz di Kazakh, hari ini. - Foto Reuters
MOSCOW: Dua angkasawan Russia dan seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) kembali ke Bumi selepas bertugas bersama lebih enam bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ketika ketegangan antara kedua-dua negara berhubung krisis Ukraine meningkat.
Agensi angkasa Russia, Roscosmos dan NASA, dalam kenyataan berasingan, menyatakan ketiga-tiga angkasawan itu, Alexander Skvortsov, Oleg Artemyev dan Steven Swanson yang berlepas pada 26 Mac lalu, mendarat di kawasan padang di Kazakh pada jam 2.23 GMT dengan kapsul Soyuz.
Ketiga-tiga angkasawan berkenaan yang bertugas bersama dalam ruang sempit ISS ketika hubungan negara mereka merosot ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak tamatnya Perang Dingin berikutan krisis di Ukraine, menunjukkan tanda bagus dan melambaikan tangan ketika mula menjejak tanah.
Menurut NASA, mereka mengharungi "169 hari di angkasa melakukan penyelidikan sains dan teknologi, termasuk mencatatkan rekod penyelidikan tanpa henti selama 82 jam dalam seminggu" pada Julai lalu.
Ketiga-tiga kru itu mengelilingi bumi sebanyak 2,700 kali dan mengembara lebih 115 juta kilometer.
"Satu daripada bidang tumpuan utama penyelidikan dalam ekspedisi ke-40 itu adalah pengurusan kesihatan manusia bagi pengembaraan angkasa jangka panjang ketika NASA dan Roscosmos bersiap sedia membawa dua kru untuk berada selama setahun di atas makmal di orbit pada 2015," katanya. - AFP

No comments: