Pages

Thursday, September 25, 2014

Projek ubah suai rumah Zuckerberg ganggu jiran


Penduduk di Dolores Park mengadu, kerja-kerja pengubahsuaian rumah Mark Zuckerberg mengganggu mereka. - AGENSI
SAN FRANCISCO 24 Sept. - Penduduk di kawasan perumahan pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg mengadu, kerja-kerja pengubahsuaian yang dijalankan di rumah jutawan itu menyebabkan mereka mengalami pelbagai masalah serta gangguan.
Mail Online melaporkan, penduduk di Dolores Park menyifatkan pengubahsuaian rumah Zuckerberg yang bernilai AS$10 juta (RM32.45 juta) sejak 17 bulan lalu telah mendatangkan masalah tempat letak kereta serta bunyi bising secara berterusan.
Rumah mewah yang dibina pada tahun 1920-an dan memiliki enam bilik itu, merupakan satu daripada empat buah rumah yang dibeli oleh Zuckerberg bersama isterinya, Priscilla Chan kerana lokasinya yang berhampiran dengan pejabat mereka.
Jutawan berusia 30 tahun itu mahu melakukan pengubahsuaian bagi membina beberapa bilik tambahan untuk dijadikan sebagai pejabat, bilik media, bilik air serta bar.
Seorang jiran yang enggan mendedahkan namanya memberitahu CBS San Francisco, kira-kira 50 buruh binaan bekerja di rumah berkenaan sehingga mengundang masalah lalu lintas serta bunyi bising.
"Dia (Zuckerberg) turut mengupah orang untuk menjaga kawasan tempat letak kereta sepanjang malam supaya buruh binaan boleh menggunakan ruang berkenaan.
"Itu tidak termasuk empat atau lima tempat letak kereta sudah digunakan untuk menempatkan peralatan pembinaan," jelas jiran tersebut.
Menurut laporan Bloomberg, Zuckerberg merupakan orang keempat terkaya di dunia dengan aset sebanyak AS$16.8 bilion (RM54.52 bilion).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140925/lu_12/Projek-ubah-suai-rumah-Zuckerberg-ganggu-jiran#ixzz3EGjKvAPr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: