Pages

Monday, August 4, 2014

Kasih 12 tahun tak makan nasi


Bahau: “Selepas bersalin pada 2002 berat badan saya mencecah hampir 90 kilogram (kg) berbanding sebelum itu hanya 52kg sahaja,” kata Kasih Kejora Yusof, 39, wanita yang tidak makan nasi selama 12 tahun dipercayai berpunca daripada pil kurus yang diambilnya.

Tidak selesa dengan berat badan itu yang dikatakan obesiti, dia mengambil keputusan berjumpa doktor klinik swasta sebelum diberi pil duromine untuk menguruskan badan.


Katanya, pil berkenaan yang dimakan hanya untuk tempoh dua bulan dan dalam tempoh itu itu juga berat badannya turun sehingga 55kg.



“Ubat berkenaan benar-benar buat saya tiada selera untuk makan dan akhirnya saya langsung tidak boleh menjamah nasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Desa Puteri, di sini. Kasih berkata, ketika pengambilan ubat berkenaan dia hanya makan buah-buahan sama ada pada waktu sarapan, makan tengah hari atau malam.


Katanya, pelbagai cara dilakukan ketika itu untuk makan nasi, namun tidak berjaya dan akhirnya membiarkan saja kerana tidak ada kesan sampingan yang wujud walaupun tidak makan nasi.


“Ketika demam pada 2013, pernah juga saya cuba untuk makan nasi menggunakan beras perang, namun tetap tidak berjaya.

“Mula-mula dulu ramai ahli keluarga yang terkejut melihat saya tidak makan nasi dan risaukan kesihatan saya, namun lama kelamaan selepas tengok saya sentiasa sihat, mereka sudah tak ambil kisah lagi,” katanya.


Bagi mengekalkan kecergasan sepanjang hari, pekerja syarikat swasta di Bahau itu akan bersarapan dengan oat dan susu manakala pada sebelah petang dia makan mi atau bihun goreng. “Sepanjang Ramadan lalu juadah sahur hanya air susu dan oat manakala ketika berbuka saya hanya makan popia goreng sahaja.

“Saya tidak ada masalah untuk memasak bagi keluarga, namun suami Alwi Alias, 42, lebih gemar membawa saya dan anak tunggal kami makan di luar jika ada kelapangan,” katanya.


Kata Kejora, kerana itu juga beras lima kilogram untuk kegunaan mereka seisi keluarga hanya mampu dihabiskan dalam tempoh empat bulan.


“Memang saya teringin untuk makan nasi tetapi setiap kali cuba menelannya, saya berasa mual,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Dietetik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban Dr Basmawati Baharom berkata, pihaknya tidak menafikan pengambilan pil duromine boleh membahayakan diri sendiri.


“Pil ini akan bertindak merangsang otak untuk mengawal selera makan hingga menyebabkan seseorang hilang selera makan dan minum hingga terjadinya dehidrasi dan gangguan tidur.


“Seterusnya ia boleh menyebabkan kita mengalami halusinasi dan gangguan pada otak. Sebenarnya doktor di klinik atau hospital kerajaan tidak menggalakkan atau menyuruh pesakit mengambil ubat ini kerana kesan buruknya pada diri,” katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, tiada yang pelik dalam kes Kasih Kejora kerana dia ada mengambil pelbagai makanan lain seperti oat, susu dan mi yang turut mengandungi zat dan kaborhidrat diperlukan tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

No comments: