Pages

Wednesday, March 5, 2014

Bill Gates paling kaya


Washington: Bill Gates kembali ke kedudukan teratas senarai tahunan orang paling kaya di dunia yang dikeluarkan majalah Forbes, semalam.

Berdasarkan pengumuman yang dibuat majalah berkenaan, dengan nilai bersih hartanya yang berjumlah AS$76 bilion (RM 249.5 bilion), pengasas Microsoft itu kembali menduduki tangga teratas senarai selepas empat tahun berada di belakang jutawan komunikasi Mexico, Carlos Slim Helu.


Amanico Ortega dari Sepanyol yang menjadi pengasas konglomerat pakaian, termasuk rangkaian fesyen jenama Zara, berada di kedudukan ketiga dengan kekayaan berjumlah AS$ 64 bilion (RM 210.1 bilion).

Ikon pelaburan Warren Buffet yang menguruskan Berkshire Hathaway Inc dan sering menjadi rakan kongsi Gates, berada di tempat keempat dengan harta AS$ 58.2 bilion (RM 191.1 bilion) manakala pengarah Oracle Corp di tempat kelima dengan AS$ 48 bilion (RM157 bilion).


Gates menduduki tempat pertama sebanyak 15 kali dalam tempoh 20 tahun.


Sementara itu, senarai bilionair Forbes meningkat daripada 1,426 orang tahun lalu kepada 1,645 dengan taksiran kekayaan bernilai kira-kira AS$6.4 trilion (RM21 trilion).

Senarai terbaru itu juga menyaksikan 10 peratus daripada mereka wanita 172 orang berbanding 138 tahun sebelumnya.

Pewaris Wal-Mart Stores Christy Walton menduduki tangga teratas dalam senarai wanita dan tangga ke sembilan secara keseluruhan dengan jumlah kekayaan AS$ 36.7 bilion (RM 120.5 bilion).

Warga Perancis Liliane Bettencourt yang kebanyakan kekayaannya datang daripada syarikat kosmetik L’Oreal menduduki tangga kedua senarai wanita dan ke-11 keseluruhan dengan harta berjumlah RM113.2 bilion.

Pengasas Google, Larry Page dan Sergey Brin berada di kedudukan 17 dan 19 dengan kekayaan RM106 bilion dan RM104 bilion manakala pemilik Amazon.com Jeff Bezos di antara mereka dengan harta RM105 bilion.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, 29, menggandakan kekayaannya kepada RM93.5 bilion berada di tangga ke-21.

Bekas Datuk Bandar New York yang bersara dua bulan lalu, Michael Bloomberg berada di tangga ke-16 dengan RM108.3 bilion yang datang dari hasil syarikat media miliknya.

Mengikut Forbes, kekayaan jutawan Brazil, Eike Batista jatuh lebih AS$300 juta (RM985.2) daripada RM34.8 bilion menjadikannya orang yang mengalami kerugian paling teruk tahun ini.

Ia berlaku apabila empayar industri minyak dan sumber semula jadinya runtuh akibat hutang dan pengeluaran yang merudum.

Secara kasarnya, dua per tiga daripada bilionair dunia atau 1,080 orang menjadi kaya menerusi hasil usaha mereka sendiri.

Amerika Syarikat mencatatkan senarai paling ramai bilionair dengan 492 diikuti China, 152 dan Russia, 111.

Algeria, Lithuania, Tanzania dan Uganda masing-masing mempunyai seorang bilionair. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/05

No comments: