Pages

Saturday, November 2, 2013

Gadis dapat wajah baharu


Wajah Xu Jianmei sebelum (kiri) dan selepas (kanan) menjalani pembedahan menggantikan wajah di Fuzhou, wilayah Fujiian, China, baru-baru ini. - AGENSI
FUJIAN 31 Okt. - Sekumpulan doktor pakar berjaya melakukan pembedahan bagi menggantikan wajah seorang gadis remaja yang terbakar, hanya dengan menggunakan kulit daripada dadanya.
Wajah Xu Jianmei, 17, terbakar teruk ketika berusia lima tahun sehingga mengakibatkan dia kehilangan dagu, kelopak mata dan telinga, selain tidak boleh tersenyum.
Kedua ibu bapa Jianmei tidak mampu menampung kos pembedahan plastik yang mahal sehingga menyebabkan remaja itu berada dalam keadaan sedemikian sejak 12 tahun lalu.
Namun begitu, gadis berkenaan bagaikan mendapat harapan baharu apabila doktor bersetuju untuk menawarkan perkhidmatan pembedahan secara percuma.
“Dengan wajah baharu ini, Jianmei mampu meluahkan perasaan dalam bentuk yang lebih baik. Wajahnya juga boleh menjadi kemerah-merahan apabila berlaku perubahan emosi, namun perkara itu mungkin memakan masa yang agak panjang,’’ kata pakar bedah Jiang Chenhong.
Jelas Chenhong, pihaknya menyalurkan darah dari kaki ke dada Jianmei, sebelum menggunakan belon berisi air bagi mengembangkan kulitnya di bahagian dada untuk digunakan dalam membina wajah baharu.
“Pada mulanya kami mengambil saluran darah dari paha kemudian ditanamkan di dalam dadanya.
“Kami memasukkan pengembang kulit di mana darah berkenaan ditanam, ini bagi menghasilkan kulit yang cukup untuk digunakan bagi membentuk muka baharu ,’’ ujar Chenhong.
Kumpulan pakar bedah berkenaan sebelum ini pernah melakukan pembedahan pemindahan seumpama itu beberapa bulan lalu, termasuk mencipta hidung baharu dengan menggunakan kulit dahi. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131101/lu_07/Gadis-dapat-wajah-baharu#ixzz2jQiTjup5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: