Shenyang: Berdepan dengan harga dan sewa rumah yang tinggi, sebuah keluarga menemui jalan aneh untuk mengatasi masalah kekurangan kediaman di sebuah daripada bandar raya terbesar China dengan mengubah suai tandas lelaki untuk dijadikan tempat tinggal.
Ketika Zeng Lingjun berpindah ke Shenyang untuk mencari pekerjaan, lelaki berusia 33 tahun itu mengambil keputusan, daripada mencari rumah di bandar raya berkenaan yang dia yakin tidak mampu membeli atau membayar sewanya, adalah lebih baik dia menyewa tandas hotel yang tidak digunakan.
Zeng yang bekerja sebagai tukang kasut berpindah ke tandas itu yang seluas 20 meter persegi pada 2006. Apabila berkahwin dengan Wang Zhixia pada 2010, isterinya juga berpindah ke situ. Begitu juga dengan anak mereka, Devi yang kini berusia dua tahun.
Meskipun ganjil, dengan tandas buang air kecil masih melekat di dinding, Zeng menyifatkan rumahnya itu sebagai ‘kecil tetapi lengkap’ dengan berkata, mereka sudah biasa dengan bau hancing dan busuk.
Dia begitu berpuas hati dengan keadaan rumahnya itu hingga menamakan anaknya ‘Devi’ yang bermakna memenuhi kepuasan seseorang.
Sebaik berpindah ke tandas itu, Zeng membuat pengubasuaian, memaku papan di atas satu daripada tandas untuk membuat katil yang menghadap sebuah televisyen kecil. Televisyen berkenaan diletakkan di atas meja antara dua tempat buang air kecil.
ZHENG anggap rumahnya ‘kecil tetapi lengkap.’ |
ZHENG, isteri dan anak mereka menonton televisyen yang terletak di tengah dua tempat buang air kecil. |
“Saya berpuas hati dengan apa yang saya ada sekarang. Hidup saya kini lebih baik jika hendak dibandingkan sebelum ini,” katanya dalam satu wawancara dengan Englishnews.cn.
Di luar ‘kamar tidur’ mereka, yang sebelum ini menempatkan sinki membasuh, dijadikan dapur dan bengkel Zeng.
“Ia tidak sesuai untuk memasak tetapi saya sudah biasa,” kata Wang, bekas tukang cuci.
Zeng membayar kira-kira 8,000 yuan (RM4,000) setahun untuk menyewa tandas itu daripada hotel berkenaan. Dia diberikan ruang percuma di depan bangunan, tempat dia bekerja mengilat kasut pelanggan.
Secara purata, dia memperoleh pendapatan kira-kira 2,000 yuan sebulan dengan mengilat dan membetulkan kasut, lebih separuh daripada gaji maksimum yang ditetapkan pihak berkuasa Shenyang. - Agensi
No comments:
Post a Comment