Pages

Friday, July 5, 2013

Morsi tumbang selepas setahun


RATUSAN ribu penduduk meraikan penggulingan Presiden Mesir, Mohammed Morsi di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Pihak tentera menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui proses demokrasi, Mohammed Morsi kelmarin, setahun selepas beliau berkuasa.
Tentera kemudian menubuhkan sebuah pentadbiran sementara yang diketuai oleh ketua hakim, Adly Mansour sebagai pemangku presiden Mesir.
"Saya bersumpah akan memulihara sistem pentadbiran negara, menghormati perlembagaan dan undang-undang serta melindungi kepentingan rakyat," kata Mansour dalam majlis angkat sumpah di Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir di sini semalam.
Angkatan bersenjata Mesir turut menggantung perlembagaan dan membuat perancangan untuk mengadakan pilihan raya Presiden yang baharu.
Morsi menyifatkan tindakan tentera itu sebagai rampasan kuasa sepenuhnya.
Selepas pengumuman mengenai rampasan kuasa tersebut disiarkan di televisyen, berjuta-juta penunjuk perasaan anti-Morsi bersorak gembira.
Mereka berpesta sambil menjerit "Tuhan Maha Besar" dan "Hidup Mesir".
Di Dataran Tahrir di sini yang menjadi pusat kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Hosni Mubarak pada 2011, orang ramai menari sambil mengibarkan bendera Mesir.

PASUKAN keselamatan cuba meleraikan pergaduhan antara penyokong dengan penentang Morsi di Kaherah kelmarin.


Namun, gelombang kebangkitan rakyat kali ini lebih besar berbanding dua tahun lalu.
Terdahulu, tentera Mesir yang terpanggil susulan demonstrasi anti-Morsi di seluruh negara memberi tempoh 48 jam kepada beliau meletak jawatan.
Namun, Morsi, 61, tidak menghiraukan kata dua itu dengan alasan beliau adalah pemerintah Mesir yang dipilih oleh rakyat.
Kedegilan Morsi mendorong pihak tentera merampas kuasa pada malam kelmarin.
Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas dan adil itu akhirnya tumbang di tangan rakyat.
Beliau senasib dengan bekas presiden Mubarak yang digulingkan dalam gelombang kebangkitan rakyat pada 2011.
Pada Februari 2011, Mubarak terpaksa berundur selepas tentera Mesir memihak kepada rakyat yang mahukan beliau berundur.
Morsi yang sebelum ini merupakan penyokong pergerakan persaudaraan Islam Ikhwanul Muslimin kini dikenakan tahanan dalam rumah manakala beberapa penasihat kanan beliau turut ditahan.
Perkembangan itu berlaku selepas seminggu Mesir dilanda keganasan yang meragut hampir 50 nyawa.
Sepanjang tempoh tersebut, berjuta-juta orang membanjiri jalan raya dan dataran di Mesir untuk mendesak beliau meletak jawatan.
Sementara itu, kuasa Barat meminta semua pihak agar bertenang dengan demokrasi segera dipulihkan di Mesir. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Y7LcBv6w 
Hakcipta terpelihara 

No comments: