|
CLEVELAND, Amerika Syarikat - Tiga wanita yang diculik sedekad lalu ditemui dalam keadaan masih hidup di sebuah rumah di sini kelmarin.
Polis berkata, pihaknya menahan tiga adik-beradik lelaki termasuk seorang pemandu bas berhubung kehilangan mereka.
Tiga wanita tersebut iaitu Gina DeJesus, 23, Amanda Berry, 24, dan Michelle Knight ditemui dalam keadaan sihat.
Media AS melaporkan, Berry hilang pada 2003 manakala DeJesus pada 2004 ketika mereka masih di usia remaja.
Stesen televisyen CNN pula melaporkan bahawa Knight didapati hilang pada 2000 pada usia 20 tahun.
Menurut polis, mereka menyerbu kediaman tersebut selepas menerima panggilan kecemasan daripada Berry.
Wanita itu dibebaskan daripada kediaman itu oleh seorang jiran yang terdengar jeritan mangsa.
"Tolong saya! Saya Amanda Berry, saya diculik dan hilang selama 10 tahun. Saya kini bebas," menurut rakaman percakapan Berry dengan operator perkhidmatan kecemasan 911.
Semasa membuat panggilan tersebut, mangsa mendedahkan nama penculiknya dan memberitahu, dia berada di luar rumah tempat dia dikurung.
Berry juga merayu polis supaya segera ke tempat kejadian.
Jiran berkenaan, Charles Ramsey memberitahu dalam wawancara bersama CNN, dia melihat Berry berusaha untuk keluar daripada pintu rumah yang belum terbuka sepenuhnya apabila tiba di kediaman tempat mangsa dikurung.
"Saya melihat dia panik dan seboleh-bolehnya mahu membuka pintu dan keluar dari rumah itu," kata Ramsey.
Menurut lelaki tersebut, dia melihat Berry muncul daripada kediaman itu bersama seorang budak perempuan.
Polis yang menyerbu rumah tersebut tidak lama kemudian turut menemui DeJesus dan Knight.
Ketiga-tiga wanita itu kemudian dibawa ke sebuah hospital dan berada dalam keadaan selamat.
"Kita jarang mendengar kisah penculikan seperti ini berakhir dengan selamat," kata pegawai hospital berkenaan, Dr.Gerald Maloney.
Beliau enggan mengulas laporan media bahawa dua kanak-kanak turut ditemui bersama tiga wanita tersebut di kediaman itu.
Tiga suspek yang masing-masing berusia 50, 52 dan 54 tahun kini ditahan untuk soal siasat.
Seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai Ariel Castro, 52, yang merupakan pemandu bas sekolah awam di sini. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Sfyvp63h
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment