Pages

Thursday, April 11, 2013

Korban gempa Iran meningkat 37 orang



Seorang wanita Iran diberi rawatan selepas mengalami kecederaan dalam gempa bumi di bandar Shonbeh, selatan Iran, kelmarin. - AGENSI
TEHERAN 10 April - Angka korban gempa bumi kuat yang melanda barat daya Iran semalam, meningkat kepada 37 orang hari ini dengan jumlah mangsa yang cedera pula kira-kira 850 orang.
Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter yang menggegarkan bandar Bushehr itu berlaku berhampiran stesen tenaga nuklear Iran, tetapi pihak berkuasa Teheran dan Rusia yang bertanggungjawab membinanya menyatakan, kemudahan itu tidak terjejas.
Kira-kira 700 kediaman yang dibina menggunakan batu-bata dan lumpur turut musnah akibat bencana alam itu dan pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang terselamat.
Pasukan Bulan Sabit Merah yang menyediakan makanan dan tempat perlindungan, turut membantu pencarian mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Gegaran yang berpusat 89 kilometer ke tenggara bandar pelabuhan Bushehr itu, turut menyebabkan pejabat-pejabat di Qatar dan Bahrain dikosongkan.
Gegaran dapat dirasakan sehingga ke hub kewangan di Dubai.
Iran adalah satu-satunya negara yang mengendalikan loji nuklear yang tidak menganggotai Konvensyen Keselamatan Nuklear yang ditubuhkan selepas bencana nuklear Chernobyl pada 1986.
Reaktor Bushehr terus menjadi punca kebimbangan dunia, ekoran kemudahan itu didirikan di atas titik persilangan tiga plet tektonik. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130411/lu_06/Korban-gempa-Iran-meningkat-37-orang#ixzz2Q9G7WsyM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: