Pages

Friday, March 22, 2013

Berpantang maut sebelum ajal



Spiridon Vinokurov ditemui oleh pasukan penyelamat dalam keadaan terbaring di timbunan salji di Republik Sakha, Rusia. - AGENSI
MOSCOW 21 Mac - Seorang lelaki Rusia terpaksa menyabung nyawa selama empat hari apabila terkandas di dalam hutan bersalji dan diburu sepasang serigala yang lapar.
Ketika menceritakan detik-detik cemas tersebut, Spiridon Vinokurov berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan melawat saudaranya di kampung Aleko-Kyuel, Republik Sakha, Rusia, 120 kilometer dari rumahnya dengan menaiki kenderaan salji.
Katanya, pada mulanya dia kehilangan petanda yang ditinggalkan di sepanjang jalan bagi mengelak sesat dalam perjalanan tersebut ekoran ribut salji yang melanda kawasan berkenaan.
Keadaan itu jelasnya, bertambah buruk apabila kenderaan kehabisannya minyak dan dia terpaksa berjalan kaki meredah salji tebal.
"Kemudian muncul sepasang serigala yang mengekori saya dari jauh. Namun apabila saya semakin kehilangan tenaga dan mula merangkak, haiwan tersebut mula merapati saya.
"Malah ketika saya terbaring di timbunan salji akibat tiada lagi tenaga untuk bergerak, saya dapat merasakan nafas serigala berkenaan di bahagian leher saya," katanya.
Bagaimanapun, Vinokurov bernasib baik kerana ketika serigala berkenaan menghampirinya, sebuah helikopter penyelamat tiba di lokasi dia terbaring dan menyelamatkannya sebelum membawanya ke hospital.
Lelaki berusia 48 tahun itu kini mendapatkan rawatan intensif selepas mengalami reputan fros.
Pegawai pasukan penyelamat Republik Sakha, Nikolai Fateyyv berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kehilangan Vinokurov oleh keluarga mangsa pada hari keempat kejadian.
Katanya, ketika Vinokurov ditemui kira-kira 80 kilometer dari kampung Berelekha di Republik Sakha, mangsa masih sedarkan diri.
"Keadaannya sangat teruk akibat reputan fros, namun masih sedar.
"Vinokurov memaklumkan kepada kami bahawa dia hanya mampu merangkak selepas tidak mampu berjalan lagi," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130322/lu_08/Berpantang-maut-sebelum-ajal#ixzz2OEuzN68W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: