Pages

Saturday, December 28, 2013

Lelaki ‘gajah’ dibedah lagi

Foto
HUANG bersedia untuk menjalani pembedahan di sebuah hospital di Guangzhou beberapa hari lalu.
Beijing: Seorang lelaki China yang menderita penyakit neurofibromatosis menjalani pembedahan membuang 1.5 kilogram ketumbuhan di mukanya beberapa hari lalu.
Huang Chuncai, 37, dari Hunan yang digelar sebagai “Lelaki Gajah China” menjalani pembedahan itu di sebuah hospital di Guangzhou bagi membuang ketumbuhan di pipi kirinya.
Keadaan Huang direkod sebagai kes neurofibromatosis paling buruk pernah dicatatkan di dunia.

Neurofibromatosis ialah keadaan genetik yang menyebabkan kebengkakan atau ketulan.


Pembedahan yang dijalani Huang berjaya dan dia kini perlu menghadapi dua lagi pembedahan agar keadaan penyakitnya itu terkawal.

Walaupun kebanyakan pesakit neurofibromatosis mewarisinya daripada ibu atau bapa mereka, tetapi sehingga 50 peratus memperolehnya secara rawak akibat mutasi gen sebelum mereka dilahirkan.

Kebengkakan dan ketulan digelar neurofibromas yang disebabkan oleh pertumbuhan sel itu, bagaimanapun bukan wabak kanser dan ia tidak berjangkit.

Ketumbuhan seberat 15 kilogram pada tubuh Huang lima tahun lalu menyebabkan tulang belakangnya mengalami kecacatan, menjejaskan pembesarannya dan turut mengakibatkan dia berasa sakit berpanjangan.

Ketumbuhan itu mula disedarinya ketika dia berusia empat tahun dan apabila dia semakin dewasa, ia menjadi lebih besar.

Huang berhenti sekolah ketika berusia 10 tahun kerana rakan sekelas mentertawakannya, selain sering diasingkan berikutan keadaannya yang aneh.

Pada usia 25 tahun, semua giginya tanggal dan Huang berdepan kesukaran untuk bercakap dan makan.

Beberapa tahun lalu, sebuah syarikat sarkas mendatangi bapa Huang untuk membelinya kerana mahu dia tampil dalam “persembahan raksasa” tetapi dibantah ibu bapanya.

Huang menjalani pembedahan pada 2007 dan 2008 untuk membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram di tubuhnya. Pembedahan itu sangat berisiko kerana menyebabkan berlaku banyak pendarahan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

No comments: