Pages

Thursday, December 5, 2013

Buaya, aligator cerdik umpan mangsa


Buaya dan aligator dikatakan lebih kreatif mencari makanan dengan menggunakan batang kayu kecil untuk mengumpan burung. - AGENSI
NEW YORK 4 Dis. - Buaya dan aligator lebih kreatif dan cerdik dalam mencari dan mengumpan makanan berbanding yang disangkakan sebelum ini.
Penyelidikan terbaharu mendapati reptilia itu menggunakan beberapa alat termasuk ranting kecil untuk mengumpan burung.
Buaya di India, selain buaya dan aligator di Florida dan Louisiana, Amerika Syarikat (AS) dilihat menggunakan teknik berkenaan ketika musim burung mengawan apabila mereka mencari ranting untuk membina sarang.
Ahli zoologi Universiti Tennessee berkata, buaya dan aligator meletakkan ranting berkenaan di bahagian hidung mereka untuk menarik perhatian burung.
Penyelidik mengkaji perbuatan itu dalam kalangan haiwan reptilia berkenaan berdekatan sarang burung gagak di Louisiana dan semasa burung bangau dan burung pucung bersarang antara Mac dan April.
Penyelidikan berkenaan merupakan yang pertama memberikan maklumat terperinci mengenai kelakuan reptilia itu menggunakan peralatan tersebut dan kes pertama pemangsa mengatur waktu menyerang mangsa semasa musim mengawan.
Saintis berkata, beberapa spesis burung memilih untuk bersarang di atas pokok yang tumbuh berdekatan kawasan buaya dan aligator bagi menggunakan haiwan reptilia itu sebagai perlindungan daripada pemangsa yang boleh memanjat pokok termasuk ular dan monyet. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_10/Buaya-aligator-cerdik-umpan-mangsa#ixzz2mYDtcd9C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: