MEDAN - Sekumpulan Ahli Komuniti Medan Petualang, baru-baru ini berpeluang melihat keajaiban bunga paling besar di dunia, Titan Arum atau Amorphophallus Titanum yang berkembang mekar dekat air terjun Deli Serdang, Sumatera Utara.
Titan Arum atau dikenali sebagai bunga mayat merupakan tumbuhan istimewa kerana hanya berkembang untuk tempoh 72 jam dan mengeluarkan bau busuk serta warna bunga menyerupai corak daging yang sering menarik perhatian agen pendebungaan seperti lalat dan kumbang.
Seorang daripada anggota komuniti tersebut, Ria Handayani berkata, ini merupakan kali pertama dia melihat bunga gergasi itu mekar dan berasa sangat kagum dengan saiz tumbuhan itu.
"Saya dan rakan yang lain tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan bunga mayat itu, walaupun terpaksa menuruni tebing curam di tepi sungai," katanya kepada solopos.com.
Kumpulan tersebut bernasib baik dapat melihat fenomena itu ketika berkunjung ke air terjun Tarunggang untuk aktiviti riadah.
Bunga tersebut yang berasal dari Sumatera ditemukan buat pertama kali pada 1878 oleh pakar botani dari Itali, Odoardo Baccari dan rakannya, Profesor Giovanni dari Turki.
Tumbuhan gergasi itu mampu membesar sehingga mencapai ketinggian 3.17 meter dan hanya tumbuh di kawasan rendah yang beriklim tropika dan subtropika seperti di Afrika Barat dan Kepulauan Pasifik termasuk Indonesia. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131026/lu_09/Bunga-terbesar-ditemui-di-Deli-Serdang#ixzz2ioxem7OT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment