Pages

Monday, August 5, 2013

Jepun hantar robot sebagai teman angkasawan


ROBOT humanoid Kirobo setinggi 34 sentimeter dan seberat satu kilogram ini akan menjadi peneman kepada angkasawan Koichi Wakata dari Jepun.


TOKYO - Jepun telah berjaya melancarkan roket yang membawa bekalan kepada kru di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Turut dihantar sebuah robot kecil untuk menjadi teman angkasawan di sana.
Imej yang disediakan oleh pihak Agensi Eksplorasi Angkasa Lepas Jepun (JAXA) menunjukkan roket H-2B berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima di Tanegashima, selatan Jepun pada Sabtu, pukul 4.48 pagi waktu tempatan.
Modul roket tersebut dijangka berlabuh di ISS pada 9 Ogos ini. Roket yang tidak dikendalikan oleh manusia itu membawa bekalan air minuman, makanan, pakaian dan peralatan untuk bertugas seberat lima tan kepada enam angkasawan di ISS.
Sebuah robot dikenali sebagai Kirobo turut menyertai misi tersebut. Android itu direka sebagai teman berbual kepada angkasawan Koichi Wakata yang dijadual tiba di ISS menjelang akhir tahun ini.
Memiliki ketinggian 34 sentimeter dan seberat satu kilogram, Kirobo diprogram untuk berkomunikasi dalam bahasa Jepun. Ia juga akan merekodkan perbualannya dengan Wakata yang menjadi angkasawan Jepun pertama mengetuai ISS.
"Kirobo boleh mengecam wajah Wakata. Ia akan menjadi robot pertama tiba di ISS," kata pereka Kirobo, Tomotaka Takahashi.
Penghantaran robot ke angkasa lepas adalah sebahagian daripada kajian yang bertujuan untuk melihat bagaimana robot mampu menawarkan sokongan emosi kepada angkasawan dan perlu berada di angkasa lepas bagi tempoh lama. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0805&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2b2kQtHLW 
Hakcipta terpelihara 

No comments: