Pages

Monday, July 1, 2013

700 masjid jadi sasaran kumpulan anti-Islam di Britain


Sebuah masjid di Muswell Hill, London Utara terbakar pada bulan lalu, dalam satu kejadian disyaki didalangi Liga Pertahanan Inggeris (EDL) sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tentera Lee Rigby di Woolwich pada 22 Mei lalu yang didakwa dilakukan pelampau Islam. - AGENSI
LONDON 30 Jun - Satu kajian mendedahkan bahawa separuh daripada masjid di Britain telah diserang sejak serangan keganasan di New York pada 11 September 2011 ketika serangan anti-Islam merebak.
Perbuatan bakar bangunan dengan sengaja, ancaman siber dan serangan secara fizikal meningkat 10 kali ganda selepas pembunuhan anggota tentera Lee Rigby pada bulan lalu.
Pemantau Islamfobia, Tell Mama mendapati antara 40 dan 60 peratus masjid serta pusat Islam iaitu berjumlah kira-kira 700 buah, dijadikan sasaran di Britain sejak berlaku serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York itu.
Penulis laporan itu, Profesor Nigel Copsey dari Universiti Teesside berkata, apa yang penting tentang analisis tersebut merupakan sejauh mana kumpulan berhaluan kanan terbabit dalam jenayah kebencian dan anti-Islam.
Kajian yang dijalankan oleh akhbar Independent juga mendapati peningkatan sebanyak 10 kali ganda serangan keganasan sejak kematian Tigby dengan masjid dan rumah penganut Islam dibakar.
Rigby, 25, dibunuh oleh dua anggota pelampau Islam berhampiran sebuah berek tentera di Woolwich pada bulan lalu, yang mencetuskan kemarahan penduduk Britain terhadap penduduk Islam dan meningkatkan kembali sentimen ant-Islam di negara ini.
Hampir sembilan serangan keganasan dilaporkan setiap hari sejurus selepas kematian Rigby, namun ia menurun kepada dua serangan setiap hari pada minggu-minggu selepas itu.
Copsey berkata, tidak dapat disangkalkan berlaku peningkatan serangan anti-Islam sejak pembunuhan Rigby di Woolwich.
''Kebimbangan yang nyata kini adalah, sama ada jumlah jenayah kebencian akan kembali ke peringkat normal atau serangan di Woolwich akan mengubah keadaan dengan meningkatnya kejadian serangan dan anti-Islam dalam jangka panjang,'' katanya.
Masyarakat Islam diberi amaran tentang bahaya yang bakal dihadapi daripada kumpulan anti-Islam melalui khutbah Jumaat di 500 buah masjid di negara ini, kelmarin. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130701/lu_05/700-masjid-jadi-sasaran-kumpulan-anti-Islam-di-Britain#ixzz2XqWhNgxC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: