Pages

Monday, July 8, 2013

5 terperangkap atas pokok

Foto
HARIMAU Sumatera.
Banda Aceh: Lima lelaki terperangkap di atas pokok sejak tiga hari lalu selepas dikejar oleh beberapa ekor harimau Sumatera.
Seorang rakan mereka mati dibaham haiwan berkenaan.

Polis berkata, lima harimau masih berada di bawah pokok itu selepas mengejar lelaki berkenaan Khamis lalu.
Kejadian berlaku selepas lelaki itu yang mencari kayu gaharu di Taman Negara Hutan Leuser di puncak Sungai Rengas, Tenggulun, kawasan Aceh Tamiang, membunuh seekor anak harimau secara tidak sengaja.

Konflik antara manusia dengan haiwan semakin menjadi-jadi di Indonesia. Tetapi, dalam kebanyakan kes, ia berakhir dengan padah menimpa haiwan terbabit.

Ketua Polis Tamiang, Dicky Sondani berkata, selain mencari gaharu, lelaki berkenaan turut memasang perangkap untuk menangkap rusa tetapi secara tidak sengaja memerangkap anak harimau berkenaan.

Harimau dewasa itu menyerang keenam-enam lelaki terbabit dan membaham seorang daripada mereka yang dikenali sebagai David. Lima yang lain - Adi Susilo, Mujiono, Budi Setiawan, Suriadi dan Awaludin - menyelamatkan diri dengan memanjat pokok, kata Dicky.

Menurutnya, 30 orang terdiri daripada polis dan tentera sudah melancarkan gerakan menyelamat mangsa kelmarin selepas dia dan tiga anggotanya terpaksa berpatah balik setelah melihat harimau itu.
Dicky juga berkata, usaha untuk mendapatkan khidmat pawang harimau sehingga semalam masih belum berhasil.

Anggota penyelamat mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari untuk tiba di kawasan terbabit. Lebih buruk lagi, mereka juga terpaksa berdepan dengan harimau dan binatang liar lain, termasuk gajah.

Harimau Sumatera adalah harimau paling kecil di dunia. Hanya 400 hingga 500 ekor dipercayai masih hidup.

“Jika harimau itu masih berada di bawah pokok, kami mungkin terpaksa menembak mereka, paling tidak dengan ubat pelali, untuk menyelamatkan kelima-lima mangsa,” kata Dicky. - Agensi

No comments: