Jutawan Saudi sokong wanita memandu
PUTERA ALWALEED
RIYADH - Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal, kelmarin menyatakan sokongan membenarkan golongan wanita di negara itu memandu kereta seperti yang dipaparkan menerusi akaun Twitter beliau.

Menurutnya, kebenaran tersebut dapat membantu kempen kerajaan mengurangkan jumlah pekerja asing.

"Jika larangan itu ditarik balik, kita sebenarnya dapat membuka lebih 50,000 peluang pekerjaan selain memberi faedah kepada sektor sosial dan ekonomi," katanya lagi.

Ribuan pekerja asing dipecat dan dihantar pulang ke negara masing-masing di bawah kempen untuk membendung kemasukan pendatang haram di Arab Saudi.

Minggu lalu, Raja Abdullah turut memberi tempoh tiga bulan kepada golongan itu untuk mengesahkan taraf mereka selepas kini terdapat lebih lapan juta pekerja asing bekerja di negara tersebut. - AP