TEXAS 28 Feb. - Satu kajian saintis di sini mendapati, tindakan menanduk bola boleh menyebabkan kerosakan otak hingga menjejaskan tahap pemikiran seseorang.
Dr. Anne Serrano dari Universiti Texas berkata, golongan belia yang suka bermain bola sepak didapati kurang mampu melaksanakan tugasan yang memerlukan teknik pemikiran asas, berbanding mereka yang tidak menceburi sukan itu.
Dalam satu ujian, pelajar wanita yang bermain bola sepak dikehendaki berlawan satu siri permainan komputer dengan mereka yang tidak bermain sukan berkenaan.
Keputusan perlawanan itu yang disiarkan dalam jurnal sains, PLos ONE, menunjukkan reaksi pemain bola sepak 'lebih perlahan' berbanding pelajar lain yang tidak bersukan.
Dalam permainan komputer itu, subjek perlu menunjukkan sasaran yang terdapat pada paparan skrin komputer dengan pantas.
"Ujian yang kami jalankan terhadap pelajar terlibat memerlukan mereka bertindak balas dengan cepat secara spontan.
"Berdasarkan keputusan, kami mendapati kesan menanduk bola mungkin menyebabkan perubahan kepada fungsi-fungsi tertentu di bahagian otak dan menjadikan pelajar yang bermain bola sepak tidak dapat berfikir dengan pantas," jelasnya.
Bagaimanapun, hal yang dibangkitkan Serrano itu bukan satu berita buruk buat pemain bola sepak.
Serrano menjelaskan, keputusan lain menunjukkan beberapa pemain bola sepak masih mampu menjalani ujian tersebut dengan baik.
"Ujian yang digunakan dalam kajian kami ini merupakan cara pantas untuk mengesan sebarang perubahan otak pada atlet.
"Kajian yang kami jalankan ini bertujuan mengenal pasti kemungkinan penyakit saraf berpunca akibat bersukan," katanya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130301/lu_07/Tanduk-bola-rosakkan-otak#ixzz2MEy3y5t2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment