Pages

Saturday, February 16, 2013

Tradisi unik Maulidur Rasul



MIMBAR yang dilekatkan dengan wang dibawa mengelilingi kampung di Kendal.
KENDAL, Jawa Tengah - Beratus-ratus penduduk Kampung Kedungsuren, mukim Kaliwungu Selatan di sini mengadakan perarakan mimbar yang ditampal dengan wang mengelilingi kampung itu, baru-baru ini.
Menariknya, mimbar tersebut dihias dengan wang bernilai ribuan ringgit yang diperolehi daripada penderma.
Malah, wang bernilai dari 2,000 rupiah (RM0.64) hingga 100,000 rupiah (RM32) yang didermakan orang ramai ditampal di sekeliling mimbar.
OKEJOGJA melaporkan, jumlah keseluruhan wang yang ditampal pada tahun ini berjumlah 5 juta rupiah (RM1,601), lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Mimbar itu kemudian dibawa mengelilingi dua timbunan berbentuk kon yang berisi ikan keli bersaiz besar dan pelbagai buah-buahan.
Perarakan itu bermula dari Pondok Pesantren Raudhatul Jinan diketuai oleh ketua kampung dan penjaga mimbar yang menunggang kuda.
Sebelum perarakan itu dimulakan, penjaga mimbar, Kiai Musyafak membaca doa supaya penduduk diberikan keselamatan dan berkat serta murah rezeki.
Musyafak berkata, tradisi itu telah menjadi agenda tahunan kampung itu setiap kali menjelangnya sambutan Maulidur Rasul.
Katanya, penggunaan mimbar khutbah adalah sebagai melambangkan tempat menyampaikan ajaran Islam dan duit yang disedekahkan menggambarkan wang yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang berhak.
Perarakan itu mendapat sambutan hangat penduduk kerana di sepanjang perjalanan, wang yang ditampal di mimbar akan diberikan kepada orang miskin sementara makanan akan dimakan bersama-sama. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130216/lu_11/Tradisi-unik-Maulidur-Rasul#ixzz2L1Riv6VD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: