Pages

Thursday, February 14, 2013

Persaingan dua remaja jadi manusia tertinggi



AKMAL bergambar dengan Penolong Ketua Biro Kosmo! Negeri Sembilan, Rais Yeop Johari (kiri) di Seremban semalam manakala Azli bersama Penolong Ketua Biro Kosmo! Kelantan, Adham Shadan (kanan) di Gua Musang.


GUA MUSANG – Rekod manusia tertinggi di negara ini semakin tercabar apabila remaja dari Kampung Paloh di sini, Mohd. Azli Hisham Abdul Ghafar yakin dia kini lebih tinggi berbanding ukuran 2.05 meter yang dicatat pada November tahun lalu.
Ukuran ketinggiannya itu sudah melebihi rekod manusia tertinggi di Malaysia yang kini dipegang oleh Sheikh Akmal Sheikh Imam, 17, dari Seremban, Negeri Sembilan.
“Saya dapat rasakan tubuh semakin tinggi. Kali terakhir saya ukur pada tahun lalu ialah 2.05 meter sedangkan tahun sebelumnya ketinggian saya cuma 1.97 meter.
“Sekarang pun, saya rasa badan sudah semakin tinggi,” katanya kepada wartawan Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan ketinggian Azli secara tidak rasmi sudah mengatasi rekod Akmal dengan ketinggian 2.04 meter yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) tahun lalu.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu kini bercuti dan akan kembali ke kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang pada Sabtu ini.
Azli yang mengikuti pengajian semester pertama Diploma Sains memberitahu, dia tidak risau dengan ketinggian yang luar biasa itu walaupun kerap menarik perhatian orang ramai.
“Saya tidak risau, orang lain yang selalunya risau,” katanya sambil tersenyum.
Dia juga tidak keberatan untuk dinilai oleh MBOR bagi tujuan pengiktirafan rekod.
“Seandainya MBOR mahu membuat ukuran ketinggian, saya sedia melakukannya. Kalau benarlah saya manusia tertinggi di Malaysia, saya bersyukur dan gembira,” katanya.
Di Seremban, Sheikh Akmal terkejut apabila ada individu lain mempunyai ketinggian yang boleh mencabar rekodnya.
“Saya sebenarnya tidak kisah jika rekod saya itu berjaya dipecahkan kerana bagi saya, apa yang berlaku adalah rezeki dan kurniaan Allah,” katanya yang kini menuntut dalam bidang masakan di Kolej East West di Seremban.
Akmal berkata, kali terakhir dia mengukur ketinggiannya ialah pada November 2011 ketika mendapatkan pengesahan MBOR sebagai manusia tertinggi di Malaysia.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu bagaimanapun mengaku tahap ketinggian tubuhnya tidak berubah sejak itu.
Dia turut menyarankan Mohd. Azli supaya berkunjung ke MBOR untuk mendapatkan pengesahan ukuran ketinggian yang sebenar.
Pada masa yang sama, Akmal mengakui hidup sebagai manusia dengan ketinggian luar biasa adakalanya memang menyusahkan.
Antara kesukaran yang dialaminya ialah mencari pakaian, kasut serta ketika menaiki kenderaan seperti bas atau kereta.
Kedua-dua remaja luar biasa itu turut berkongsi kasut saiz 14.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2KpUxMkaW 
Hakcipta terpelihara 

No comments: