Cape Carnival (Florida): Sebutir batu angkasa, malah lebih besar daripada meteor yang meletup seperti bom atom di Russia boleh jatuh dari langit bila-bila masa saja dan mencetuskan huru-hara.
Berbeza dengan dunia Holywood, tiada banyak yang dapat dilakukan ahli sains dunia mengenainya. Bagaimanapun, beberapa bekas angkasawan ingin berjuang untuk melawannya. Mereka berharap insiden kosmos secara kebetulan Bumi hampir bergeser dengan asteroid berukuran 46 meter beberapa jam selepas meteor bersaiz 15 meter jatuh di Russia akan memberi kesedaran mengenai bahaya di ruang angkasa dan mendorong tindakan diambil seperti langkah mengesan dan menjejaki asteroid yang lebih baik. “Selepas insiden kelmarin, ramai orang mula sedar,” kata Rusty Schweickart yang terbang dalam misi Apollo 9 pada 1969 dan membantu mewujudkan Yayasan B612 yang melindungi planet serta memberi amaran kepada NASA selama bertahun-tahun agar menyalurkan lebih banyak usaha dan wang untuk meingkatkan kesedaran mengenai asteroid. Bumi diancam meteor setiap masa iaitu serpihan asteroid atau komet yang menembusi atmosfera Bumi. Namun, banyak jika tidak semua terlalu kecil untuk dikesan dari jauh dengan peralatan yang ada sekarang. Meteor yang menggegarkan Pergunungan Ural dianggarkan 20 kali lebih berkuasa daripada bom atom yang digugurkan di Hisroshima pada Perang Dunia Kedua. Ia memecahkan ribuan kaca tingkap dan menyebabkan lebih 1,000 orang cedera di Chelyabinsk, bandar raya yang dihuni sejuta orang.
Malah, tiada siapa dapat mengesan kemunculannya yang dianggarkan bersaiz seperti sebuah bas. “Ia adalah asteroid yang kecil,” kata ahli astronomi Paul Chodas yang bekerja dalam program Objek DEkat-Bumi NASA di Pasadena, California.
“Ia hanya samar-samar dan sukar dikesan bukan mustahil tetapi sukar,” katanya. - AP
No comments:
Post a Comment