Serangan berani mati ragut 24 nyawa
Letupan berlaku sebaik orang ramai mula memasuki kawasan bangunan pejabat berkenaan.
BAGHDAD - Sebuah kereta berisi bom dipandu seorang lelaki memasuki pekarangan pejabat pemimpin Kurdish, meletup sekali gus meragut 24 nyawa di bandar Kirkuk, Iraq, semalam.

Menurut pegawai serangan itu merupakan insiden berdarah kedua dalam tempoh dua minggu ini membabitkan pertelingkahan puak sejak berdekad lalu.

Setakat ini, masih belum ada pihak tampil bertanggungjawab, tetapi kumpulan pemerhati mendakwa taktik serangan tersebut mirip serangan Sunni.

Letupan di luar bangunan pejabat Parti Demokratik Kurdistan, mengakibatkan kerosakan teruk dan merosakkan beberapa kereta berdekatan.

Ketua polis Kirkuk, Jeneral Tohran Abdul Rahman Youssef berkata, kira-kira 100 orang cedera dalam letupan itu.

Kirkuk yang terletak di utara Baghdad merupakan penempatan campuran seperti Arab, Kurds dan Turkomen yang bersaing menuntut kawasan minyak.  - AP