Pages

Wednesday, January 9, 2013

Sejuta warga Syria kekurangan makanan



AP
GAMBAR bertarikh 5 Januari lalu menunjukkan bangunan yang musnah akibat serangan tentera Syria di Binnish.


GENEVA, Switzerland - Sekitar satu juta penduduk Syria mengalami kekurangan makanan dengan kebanyakan mereka berada di zon konflik berikutan tindakan pemerintah menyekat pengagihan bantuan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP), Elizabeth Byrs berkata, pihaknya kini menyalurkan bantuan makanan kepada sekitar 1.5 juta rakyat Syria pada setiap bulan berbanding sejumlah 2.5 juta orang yang memerlukan bantuan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kelmarin berkata, tindakan Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletakkan syarat untuk berdamai tidak akan membantu menamatkan penderitaan rakyat Syria.
"Setiausaha Agung (Ki-moon) kecewa bahawa ucapan Bashar pada 6 Januari lalu tidak membantu ke arah penyelesaian bagi menamatkan kesengsaraan rakyat Syria," kata jurucakap PBB, Martin Nesirky.
Menurutnya, Ki-moon dan Utusan PBB-Liga Arab, Lakhdar Brahimi sedang berusaha membentuk peralihan politik termasuk penubuhan pentadbiran sementara dan mengadakan pilihan raya di bawah kelolaan PBB.
Selepas usaha damai terbaharu tersebut ditolak Bashar, Brahimi akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi pada hari ini.
Iran kini merupakan satu-satunya negara yang menyokong ucapan Bashar tersebut.
Dalam ucapannya, Bashar berikrar mahu menghapuskan pihak penentang di Syria yang dilabel sebagai pengganas yang disokong oleh pihak asing.
Pertempuran di Syria bermula pada Mac 2011 dengan lebih 43,000 orang dilaporkan terbunuh.
Para penentang Bashar mahu beliau digulingkan selepas didapati gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan hak kebebasan bersuara. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2HQb4eYuy 
Hakcipta terpelihara 

No comments: