Pages

Thursday, January 10, 2013

Kuis kucing putih sebelum histeria



Mohd. Daud Che Ngah
PENANTIAN Habsah (bukan nama sebenar) untuk menjejakkan kaki ke tanah suci akhirnya termakbul apabila namanya antara yang tersenarai untuk menunaikan fardu haji. Namun, tidak disangka, di sebalik kegembiraannya ibadahnya yang ditemani suami, Hamid (bukan nama sebenar) ke Baitullah al-Haram itu menjadi detik hitam yang juga pengajaran dalam hidupnya sebagai permulaan memperbaiki kesalahan silamnya.
Sudah menjadi takdir bagi dirinya, Habsah dikatakan mengalami histeria dan hampir hilang akal kerana tanpa sedar mendedah dan menceritakan segala keaiban dirinya dan suami di hadapan ratusan jemaah yang lain.
Terbuktilah seperti yang pernah dikatakan, tiada yang mustahil berlaku di dua tanah suci Allah SWT iaitu Mekah dan Madinah. Sesungguhnya Allah SWT akan menzahirkan sikap seseorang secara terus bagi mereka yang dikehendaki-Nya. Menceritakan lanjut, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, selepas diselidiki begitulah balasan yang Allah SWT tunjukkan kepada hambanya yang mengamalkan ilmu syirik dan khurafat.
Habsah yang berasal dari salah sebuah negeri di Malaysia Timur itu dipercayai mewarisi kepercayaan keturunannya dengan membela saka. Mohd. Daud berkata, selepas beberapa tahun mengamalkan kepercayaan itu, akhirnya tanah suci menjadi titik noktah amalan tersebut buat Habsah apabila berlaku perkara di luar jangkaan dirinya dan suami.
"Ia bermula apabila Habsah sedang berehat selepas melakukan solat sunat terawih di Masjid Madinah. Dia kemudian ternampak seekor kucing berwarna putih melintas di hadapannya. Kucing itu bagaimanapun kelihatan menghampirinya sebelum menggeselkan badannya ke tubuh Habsah.
"Berang dengan keadaan itu, dia mengais kucing tersebut tetapi malangnya kucing itu telah menggigit tangannya sehingga luka.Habsah bergegas pulang ke hotelnya dalam keadaan kesakitan tanpa menyempurnakan solat terawih sehingga selesai," kata Mohd. Daud ketika ditemui.
Kira-kira pukul 11 malam itu katanya, suaminya membantu Habsah untuk mengubati luka tersebut dengan membalut dan menyapu minyak.
Bagaimanapun, sehari selepas itu berlaku perubahan pada diri Habsah apabila dia dilihat mula berkelakuan pelik dengan menjerit-jerit sambil bercakap perkara bukan-bukan mengenai aib dirinya bersama suami."Mengetahui keadaan itu, saya dan beberapa lagi mutawif (pembantu jemaah haji) mengubati Habsah dengan membaca ayat-ayat al-Quran antaranya surah al-Isra' ayat 80 hingga 84 untuk mengawal keadaan Habsah.Alhamdulillah, dengan bantuan kalam Allah SWT itu berjaya mengubati kerasukan atau histeria yang dihadapi oleh Habsah," katanya.
Tidak berakhir di situ, beberapa hari kemudian, setibanya Habsah dan kumpulan jemaah haji yang lain ke Mekah, jemaah dikejutkan dengan kejadian sama berulang kepada Habsah.
"Dikatakan Habsah sekali lagi ternampak kucing putih tersebut melintasinya selepas dia selesai menunaikan umrah.
"Sekali lagi kejadian sama berlaku apabila dia sekali lagi mengalami histeria dan meracau-racau seperti orang hilang akal. Segala percakapannya diselangi dengan kata-kata lucah sebelum berjaya ditenangkan oleh Hamid," ujarnya.
Tidak tahan dengan keadaan itu, Hamid berjumpa dengan Mohd. Daud meminta nasihat untuk mengubati penyakit isterinya itu.
Hamid akhirnya menceritakan segalaperbuatan Habsah yang mengamalkan ilmu khurafat dan saka yang diperturunkan daripada ibunya. Tambah Mohd. Daud, Allah SWT memelihara tanah suci itu daripada sebarang perkara buruk, dan tidak mustahil Allah SWT akan membongkar segala kesalahan hambanya bagi memperbaiki kejahilan hidup yang dilalui seseorang hamba.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130108/ba_01/Kuis-kucing-putih-sebelum-histeria#ixzz2HXZg6O00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: