Pages

Wednesday, January 23, 2013

Isteri rabai terabai



Sussex: Selama tiga tahun Tracey Sharp percaya dia akan gembira berkongsi suami dengan enam wanita lain.

Foto
TRACEY
Dia mencintai bekas rabai, Philip Sharp serta bekerja keras di ladang milik keluarga itu dan cuba berbaik-baik dengan ‘madunya.’ Bagaimanapun, selepas dipencilkan, dicemburui dan kesunyian, Tracey tidak dapat lagi menanggung penderitaan. Dia akhirnya mendapat keberanian meninggalkan ‘suaminya’ yang kini dikenali sebagai ‘rabai yang berang.’ Kini, selepas lebih dua tahun dan menetap bersama-sama anaknya di rumah pangsa dua bilik di Sussex, Tracey mendedahkan kisah buruk di sebalik keluarga ganjil itu.


Wanita berusia 46 tahun itu berkata, kehidupan keluarga itu tidak pernah bahagia, bertentangan dengan apa yang sering digambarkan oleh bekas rabai berkenaan.

Menurut Tracey, pergaduhan sering berlaku antara ‘isteri’ Sharp. Mereka bekerja enam hari seminggu dan diberi elaun RM150 sebulan untuk hidup sedangkan lelaki itu dilayan seperti ‘raja.’ Tracey mula berkenalan dengan Sharp pada 1998 ketika dia menjadi rabai di sebuah kuil Yahudi di Hove, Sussex, selepas berpisah dengan suaminya.


Ketika itu juga Sharp mendakwa menerima ‘perutusan’ daripada Tuhan yang memaklumkan kepadanya bahawa dia adalah ‘raja’ dan mengarahnya supaya menggandakan bilangan isterinya. Dakwaan dan tindakannya itu menyebabkan Sharp disingkir daripada agama Yahudi.


Selepas menceraikan isterinya yang sah, Sharp ‘mengahwini’ setiausahanya, Judith sebelum mengambil Tracey sebagai isterinya pada 2001.
Foto
TRACEY (dua dari kiri) bersama Sharp (berkemeja biru muda)
dan ‘isterinya’ yang lain.


Beberapa tahun selepas itu, dia ‘berkahwin’ dengan Hannah, Vreni, Margo, Chava dan Karyn. Lelaki itu mempunyai 12 anak hasil perkahwinan dengan tujuh wanita itu. Tidak satu pun perkahwinan itu dilakukan menurut undang-undang dan Sharp berkata, perkahwinan hanya berlaku ketika seks.


Keluarga itu kemudian membina sebuah rumah berharga RM3.4 juta di sebuah ladang di Whatlington, Sussex Timurmenggunakan elaun anak dan kredit cukai.

Tracey yang melahirkan dua anak Sharp - Naomi, kini 9 tahun dan Mischa, 3 tahun, berkata, dia mulanya mempercayai sepenuhnya lelaki itu dan ajarannya. Bercakap dalam wawancara dengan majalah Closer, Tracey berkata: “Saya mencintainya dan percaya ajarannya.” Ketika hamil kali pertama, Tracey berkata, dia dan Sharp begitu rapat menyebabkan madunya cemburu.


Katanya, perasaan cemburu wujud antara ‘isteri’ Sharp kerana sikapnya yang suka memilih wanita yang digemarinya serta berpindah dari satu katil ke katil lain.


Semua ‘isteri’ Sharp terpaksa melakukan kerja seperti membasuh dan memasak sementara anak mereka tidak ke sekolah, sebaliknya belajar di ladang berkenaan.


“Saya begitu sengsara. Tetapi, tidak boleh melakukan apa-apa, seolah-olah telah disihir olehnya,” kata Stacy.


Tetapi, pada 2010, Tracey bertindak berani, menyoal Sharp mengenai kekurangan tumpuan yang diberikan kepadanya dan anak mereka sebelum bertindak meninggalkan ladang itu.


Menurutnya, anaknya, Naomi, mulanya rindukan ‘isteri’ Sharp yang lain dan adik beradiknya. Tetapi katanya, anaknya kini hidup lebih gembira.


“Saya gembira mendapat kebebasan dan menyesal terjerumus dalam kehidupan dengan Sharp. Saya berharap menemui ‘orang baru’ dan saya tidak akan berkongsinya dengan wanita lain,” kata Tracey. - Daily Mail

No comments: