Ankara: Kira-kira 1,300 penduduk Syria lagi termasuk seorang jeneral yang berpaling tadah, lari ke Turki ketika sengketa perang memuncak di negara itu, lapor agensi berita Anatolia semalam.
Kehadiran mereka menjadikan bilangan pelarian Syria ke Turki kepada 47,500 orang. Jeneral belot itu disertai 12 pegawai dan 25 warga Syria yang cedera, lapor Anatolia. Pihak berkuasa Turki enggan memberitahu angka sebenar berapa ramai jeneral bertindak belot berada di Turki, mengatakan ada di kalangan mereka pulang semula menyeberangi sempadan untuk menyertai perjuangan menentang pentadbiran Presiden Bashar al-Assad. Mereka dianggarkan lebih 20 orang.
Jeneral Muhammed Ahmed Faris, juruterbang tentera yang menjadi warga Syria pertama ke angkasa lepas, lari ke Turki Ahad lalu selepas berpaling tadah daripada rejim Bashar.
Gabung dengan pemberontak
Pegawai kanan Syria masuk ke Turki untuk bergabung dengan pemberontak Tentera Syria Merdeka (FSA) hampir setiap hari sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan mereka sering ditemani anggota tentera kanan.
Selain menerima pelarian itu, Turki juga melindungi tentera Syria yang belot dengan menempatkan mereka dalam kem berasingan berhampiran sempadan yang menyaksikan kawalan keselamatan lebih ketat.
Sementara itu Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoubi berkata, bekas Perdana Menteri yang belot, Riad Hijab belum lagi muncul menyebabkannya tidak dapat mengesahkan apa-apa perkara. Beliau juga menolak laporan ramai menteri membelot.
Kami tidak dengar apa-apapun daripada bekas Perdana Menteri dan dia juga tidak muncul di televisyen, kata Omran kepada agensi berita Sana.
Pemangku jawatan Perdana Menteri, Omar Ghalawanji mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin dan menegaskan semua menteri hadir dalam rundingan pada Isnin lalu.
Dua lagi didakwa belot
Pada pihak pembangkang, mereka berkata, selain Perdana Menteri, dua lagi menteri turut belot manakala seorang lagi, Menteri Kewangan, Mohammad Jalilati ditahan ketika diarah berhenti.
AFP
No comments:
Post a Comment