Israel bakal hilang taring

TUNIS - Perdana menteri kerajaan Hamas, Ismail Haniyeh, kelmarin berikrar bahawa Israel tidak lagi akan dapat bermaharajalela dan bakal berhadapan hari yang sukar tidak lama lagi atas kezaliman mereka terhadap penduduk Palestin selama ini, dalam satu ucapan di hadapan penyokong parti Islam, Ennahda di Tunisia.

Beliau mengeluarkan kenyataan tegas itu di sebuah stadium di Tunis yang turut dihadiri penyokong revolusi untuk membebaskan penduduk Palestin dari cengkaman Israel.

“Israel tidak lagi mempunyai sekutu kuat di Mesir dan Tunisia. Masa telah berubah mengikut gelombang revolusi kebangkitan rakyat yang sehingga kini gigih berjuang mempertahankan hak dan maruah mereka daripada terus ditindas,” menurutnya.

Dalam satu kenyataan, Haniyeh turut menggesa seluruh rakyat Tunisia berganding bahu membina semula keamanan dan kestabilan di Timur Tengah serta tidak mengiktiraf Israel.