Pages

Saturday, November 10, 2012

Bashar dakwa tiada perang saudara di Syria

REUTERS
SEORANG wanita menangis selepas sebuah jet tentera Syria melancarkan serangan di Kafranbel, dekat Idlib pada Isnin lalu.


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar kecil) menegaskan bahawa tiada perang saudara berlaku di negara ini, sebaliknya beliau menganggapnya sebagai keganasan yang dilancarkan menerusi proksi.
Bashar mengaku anggota-anggota tenteranya berjuang dalam satu peperangan yang sengit dan sukar.
Beliau menyatakan, tenteranya boleh menamatkan peperangan dalam tempoh seminggu.
Bagaimanapun, katanya, tempoh itu boleh dicapai jika negara-negara asing menghentikan penghantaran senjata kepada kumpulan penentang yang bertempur dengan tenteranya.
Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Russia Today TV itu, Bashar berkata, beliau tidak menyesal berhubung tindakan ketenteraan yang dilakukan sejak Mac tahun lalu.
Wawancara selama 26 minit yang disiarkan semalam itu dikendalikan oleh wartawan Sophie Shevarnadze.
Lokasi wawancara itu ialah di sebuah kediaman rasmi Bashar yang baru diubah suai.
Bashar sebelum ini dilaporkan sanggup mati di negara sendiri dan tidak akan melarikan diri ekoran pertempuran yang berlaku di negaranya.
Konflik di Syria kini memasuki bulan ke-19 dan telah meragut nyawa kira-kira 36,000 orang.
Para penentang menuntut supaya Bashar meletak jawatan ekoran kegagalannya untuk membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara.
Sementara itu, beberapa pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kira-kira 11,000 orang pelarian Syria telah meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam.
Para pelarian itu menuju ke Turki, Jordan dan Lebanon dengan puluhan kanak-kanak didapati cedera. - Agensi

No comments: