Srinagar: Tentera India dan Pasukan Polis Sempadan India-Tibet (ITBP) mendakwa mereka melihat sekurang-sekurangnya 100 Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO) di ruang udara Jammu dan Kashmir antara 1 Ogos dan 15 Oktober tahun ini.
Objek bercahaya
Akhbar India Today, menyatakan ITBP sudah memaklumkan butiran terperinci UFO yang dilihat dalam satu laporan kepada ibu pejabatnya di New Delhi dan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Laporan menyatakan ‘objek bercahaya tidak dikenali’ dilihat di ruang udara wilayah itu dan menolak kemungkinan cahaya pengangkutan udara, pesawat tanpa pemandu atau satelit yang sedang mengorbit bumi pada paras rendah.
“Objek bercahaya yang dilihat, bukan pesawat tanpa pemandu, kapal terbang atau satelit yang mengorbit bumi,” kata India Today memetik kenyataan seorang pegawai tentera yang sedang menjalankan kajian ke atas gambar kabur diambil pasukan ITBP.
Pasukan tentera yang merekodkan penemuan UFO dan pesawat tanpa pemandu secara berasingan, sudah melakukan beberapa usaha untuk mengenal pasti objek berkenaan.
Lakukan kajian
Laporan mengenai kehadiran UFO pernah dibuat di wilayah Ladakh sebelum ini. Bagaimanapun kehadiran objek tidak dikenali yang semakin kerap, mendorong pihak tentera menjalankan kajian terperinci mengenainya.
Pasukan itu cuba mengenal pasti objek itu September lalu, menggunakan radar dari darat dan penganalisis spektrum, tetapi gagal, berikutan kedua-dua peranti gagal mengesannya. - Agensi
No comments:
Post a Comment