DAMSYIK - Berpuluh-puluh orang terbunuh dalam serangan berkembar oleh dua pengebom berani mati di pekarangan pangkalan tentera udara Syria dekat sini, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Kumpulan itu menyatakan, pihaknya bimbang berhubung nasib beratus-ratus tahanan yang masih berada di pangkalan tersebut.
Kumpulan jihad, Barisan Al-Nusra mengaku melakukan serangan itu.
Serangan pertama dilakukan oleh seorang penyerang yang memandu sebuah kereta berisi bahan letupan manakala satu lagi serangan melibatkan sebuah ambulans berisi bom.
Pengarah kumpulan pemerhati tersebut, Rami Abdul Rahman memberitahu agensi berita AFPbahawa berpuluh-uluh orang maut dalam pengeboman berkembar itu.
"Nasib beratus-ratus tahanan yang ditahan di bilik bawah tanah bangunan tersebut pula masih tidak diketahui," tambahnya.
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, serangan itu mencetuskan pertempuran sengit di bandar Hasrata melibatkan kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria dan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Menurutnya, tentera rejim Bashar turut membedil bandar Aleppo semalam yang menyaksikan pertempuran sengit berlaku sejak pertengahan Julai lalu, selain di bandar Idlib berdekatan sempadan Turki.
Satu letupan turut berlaku di kawasan al-Zablatani di sini semalam. Angka kematian belum diketahui. Perkembangan itu berlaku ketika Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/ Liga Arab, Lakhdar Brahimi dijadualkan berkunjung ke Syria pada minggu ini untuk cuba memujuk pentadbiran Bashar supaya segera mengadakan gencatan senjata bagi menghentikan perang saudara di negara itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semalam.
"Brahimi akan melawat rantau berkenaan sekali lagi dan beliau akan berkunjung ke beberapa buah negara. Beliau juga akan berada di Syria," kata Kin-moon pada satu sidang media bersama Presiden Perancis, Francois Hollande selepas pertemuan mereka di Paris.
Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment