Pages

Friday, October 19, 2012

Maaret al-Numan dibedil


Penduduk Syria mengeluarkan mayat seorang mangsa dari bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat bedilan tentera kerajaan di Maaret al-Numan, semalam. - AFP
MAARET AL-NUMAN, Syria 18 Okt. - Beberapa buah pesawat pejuang Syria melancarkan serangan terbaru ke atas bandar barat laut Syria yang ditawan pemberontak minggu lalu, awal pagi ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 44 termasuk kanak-kanak maut.
AFP melaporkan, serangan itu disasarkan di Maaret al-Numan, bandar strategik yang terletak berhampiran jalan raya menghubungkan antara Damsyik dan Aleppo.
Tentera pembelot yang menawan bandar ini sejak 9 Oktober lalu untuk menjadikan zon penampan sekitar sempadan Turki, cuba menembak pesawat tersebut menggunakan mesingan, namun tidak berjaya.
Seluruh bandar Maaret al-Numan dihujani serangan roket dan bedilan meriam, walaupun didakwa tidak sehebat pertempuran yang berlaku beberapa minggu lalu.
Semalam, sebuah helikopter milik tentera Syria ditembak di Maarhtat, pinggir Maaret al-Numan, menurut pemberontak dan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Dalam perkembangan lain di Syria, pertempuran tercetus di sempadan Lebanon dan Syria lewat malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan maut atau cedera.
Pegawai keselamatan Syria berkata, pasukan tenteranya bertindak menyerang Lebanon selepas penyerang tidak dikenali melepaskan tembakan merentasi sempadan berdekatan perkampungan Aboudiyeh, utara Lebanon.
“Satu daripada serangan itu mengena kawasan Nahr Kbir, menyebabkan penduduk di situ meninggalkan kediaman mereka untuk menyelamatkan diri," kata pegawai tersebut.
Menurutnya, penyerang Lebanon menggunakan mesingan untuk menyerang wilayah Syria, sementara tentera Syria membalas dengan bedilan kereta kebal dan mesingan.
“Tentera Lebanon memperhebatkan kawalannya dan walaupun pertempuran itu berhenti, situasi di situ masih lagi tegang," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121019/lu_01/Maaret-al-Numan-dibedil#ixzz29l7rhvKa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: