Pages

Friday, September 7, 2012

Penyiasat OIC mula tugas di Myanmar



Yangon: Anggota misi mengumpul maklumat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tiba di Myanmar semalam untuk memulakan siasatan mengenai keganasan antara pengikut Buddha dan penduduk Islam Rohingya berpunca daripada pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat minoriti Muslim di negara itu.

Pasukan penyiasat itu tiba lebih awal daripada Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu yang bakal memulakan lawatan 10 hari ke Myanmar. Pertubuhan yang dianggotai 57 negara Islam itu akan membentangkan laporan siasatan pasukan berkenaan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tidak lama lagi.
Myanmar sambut baik lawatan

Pertempuran antara penduduk Buddha dan minoriti Rohingya di negeri Rakhine pada June lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 90 terbunuh dan beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal.

Pertubuhan hak asasi manusia menuduh tentera Myanmar turut melakukan jenayah dalam usaha memulihkan keadaan.

Jurucakap kerajaan Myanmar, Ko Ko Hlaing, menyambut baik lawatan itu bagi memperbetulkan pandangan serong dalam isu berkenaan.
Dunia Islam menyuarakan kebimbangan yang sebahagian besar berpunca daripada maklumat diberi salah, tambahnya.

Misi berkenaan dijangka menyediakan laporan mengenai isu berkenaan untuk diserahkan kepada Kumpulan Penghubung mengenai Myanmar yang akan bertemu di New York di luar sidang UNGA pada akhir September.

Keputusan menghantar misi mengumpul maklumat itu dan pembentukan Kumpulan Penghubung pada peringkat menteri dibuat ketika sidang tergempar Jawatankuasa Eksekutif pada 5 Ogos lalu di ibu pejabat OIC di Jeddah sebelum disokong persidangan pertubuhan berkenaan di Makkah pada 14 Ogos lalu.

Rusuhan mula meletus Jun lalu selepas penduduk Buddha di Rakhine membunuh penumpang bas etnik Rohingya selepas anggota masyarakat minoriti itu dituduh merogol wanita tempatan.

Selain berpuluh-puluh orang maut, beribu-ribu lagi diusir dari rumah mereka dan banyak perkampungan yang hangus dibakar.
Bernama/Agensi

No comments: