Pages

Friday, September 14, 2012

Bantahan merebak




         
KAHERAH: Polis Mesir menggunakan gas pemedih mata ketika bertempur dengan penunjuk perasaan yang melontar batu dan botol di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, semalam.

Tunjuk perasaan membantah filem yang menghina filem ‘Innocence of Muslims’ turut berlaku di beberapa bandar utama negara Islam lain.
Kementerian Kesihatan Mesir berkata, 13 orang cedera dalam pertempuran di luar kedutaan AS, semalam.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pertempuran berlaku selepas penunjuk perasaan melontar batu dan botol ke arah anggota keselamatan yang melindungi kedutaan itu.


Kerajaan Mesir sebelum itu menggesa rakyatnya bersabar dan pada masa sama mengecam filem itu.


Filem berkenaan turut mencetuskan kekacauan di Libya Selasa lalu hingga mengorbankan empat warga AS, termasuk dutanya apabila penunjuk perasaan menyerang pejabat konsul negara itu di Benghazi.

“Filem itu menghina Nabi Muhammad (SAW) dan tidak bermoral. Tetapi, kami menggesa rakyat Mesir supaya bersabar ketika meluahkan kemarahan mereka,” kata kenyataan Kabinet yang dibacakan oleh Perdana Menteri, Hisham Qandil pada sidang akhbar.

Di Sanaa, polis Yaman menggunakan meriam air dan melepaskan tembakan amaran bagi mengusir beribu-ribu penunjuk perasaan yang menyerbu kedutaan AS.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan lima lagi cedera.

Selepas diusir dari pintu utama, penunjuk perasaan berkumpul semula kira-kira 100 meter sambil melaungkan slogan anti-Yahudi.


Di Tunis, polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan juga diadakan oleh ratusan penyokong ulama Syiah Iraq di Najaf, Moqtada al-Sadr.

Kumpulan Asaib al-Haq yang terkenal kerana serangan terhadap tentera asing ketika Perang Iraq memberi amaran akan menyerang kepentingan AS di negara itu.

Filem bajet rendah itu yang membabitkan pelakon dengan loghat pekat Amerika melakonkan watak penganut Islam dengan menggambarkan mereka sebagai tidak bermoral dan ganas. - AFP

No comments: