Pages

Friday, August 17, 2012

Thailand, pemisah adakan rundingan

Pegawai polis Thailand memeriksa kerosakan selepas satu serangan bom di Pattani, semalam. Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam serangan itu.
Pegawai polis Thailand memeriksa kerosakan selepas satu serangan bom di Pattani, semalam. Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam serangan itu.

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand berkata ia mengadakan perbincangan dengan beberapa kumpulan pemisah Islam di wilayah selatan bergolak, berikutan perubahan dasar selepas kebangkitan terbaru militan.

Timbalan Perdana Menteri, Yutthasak Sasiprapa, berkata rundingan tidak rasmi sedang dijalankan antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab di wilayah itu iaitu Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan dengan beberapa kumpulan serpihan.

“Saya tidak katakan ia sebagai satu rundingan, namun ada perbincangan untuk mencapai perdamaian yang menjadi dasar penting kerajaan,” kata Yutthasak yang bertanggungjawab dalam keselamatan nasional, kepada media.
“Kerajaan melantik Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan mengambil tanggungjawab untuk rundingan itu oleh kerana mereka tahu siapa yang perlu ditemui untuk berunding.”

Rundingan itu adalah bersama kumpulan serpihan militan yang menganggotai gerakan dikenali Runda Kumpulan Kecil (RKK), satu daripada organisasi pemberontak web dipercayai menjadi dalang serangan, katanya.

“Kami bercakap dengan kumpulan yang baru ditubuhkan dianggotai golongan muda yang sudah berpecah daripada RKK,” kata Yutthasak, menambah bahawa sehingga 9,000 pemisah secara keseluruhan dianggarkan beroperasi di wilayah selatan dilanda keganasan itu.

April lalu, Yutthasak mengarahkan rundingan damai dengan militan selepas serangan bom maut menggegarkan wilayah dikuasai penduduk Islam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pemberontakan rumit, tanpa sasaran jelas, melingkari selatan Thailand bersempadan dengan Malaysia sejak 2004, meragut ribuan nyawa, kedua-dua penduduk Islam dan Buddha dengan serangan bom atau senjata hampir setiap hari.

Pemberontak tidak dianggap sebahagian pergerakan jihad global, tetapi sebaliknya memberontak menentang sejarah panjang diskriminasi ke atas etnik Melayu Islam oleh kerajaan Buddha Thailand.

Serangan memuncak ketika bulan suci Ramadan berakhir minggu ini, menukar fokus ke atas kerajaan yang terpaksa menangani kekacauan tanpa henti.

Yutthasak memberi amaran kemungkinan serangan besar militan di bandar selatan ketika bulan suci umat Islam sampai ke penghujungnya.

“Militan memutar belitkan ajaran Islam dan percaya siapa saja yang melancarkan serangan ketika Ramadan akan diberi ganjaran dan berupaya berjumpa penciptanya,” katanya. - AFP

No comments: