Pages

Sunday, June 10, 2012

Tujuh maut konflik agama di Myanmar

Kosmo! Online - Dunia:



BEBERAPA pemimpin Islam menemui pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi berhubung keganasan agama di Yangon, Rabu lepas.


YANGON - Pasukan keselamatan membanjiri barat Myanmar semalam bagi mengembalikan ketenteraman selepas sekurang-kurangnya tujuh nyawa melayang dalam keganasan antara penduduk Islam dan Buddha, menurut media negara berkenaan.
Stesen televisyen Myanmar melaporkan, unit polis dan tentera berjaya mengawal kekacauan yang tercetus di negeri Rakhine, dekat sempadan Bangladesh.
Keganasan agama di negeri berkenaan menyaksikan ratusan buah rumah penganut Buddha dibakar.
"Namun, keadaan kembali tenang sejak pagi ini (semalam)," menurut stesen televisyen Myanmar.
Huru-hara tercetus kelmarin apabila sekurang-kurangnya empat penduduk beragama Buddha maut dalam beberapa rusuhan di Rakhine yang didiami oleh sejumlah besar etnik Rohingya.
Pada keesokan harinya, gelombang kedua keganasan melanda beberapa perkampungan di pedalaman Myanmar apabila lebih banyak kediaman dibakar sehingga memaksa penduduk beragama Buddha melarikan diri ke bandar Maungdaw untuk mencari perlindungan.
Media rasmi pemerintah menyatakan, tujuh terbunuh, 17 cedera dan hampir 500 buah rumah musnah sepanjang kekacauan dua hari di Rakhine.
Situasi tegang di negeri itu tercetus Ahad lalu selepas 10 orang Islam yang berada di dalam sebuah bas mati dibelasah oleh 300 penduduk beragama Buddha.
Mereka tersilap menyangka mangsa adalah beberapa penjenayah yang merogol dan membunuh seorang gadis beragama Buddha di Rakhine, bulan lalu.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, Rohingya merupakan antara etnik minoriti paling teruk ditindas di dunia.
Di Myanmar, Rohingya dianggap sebagai orang asing dan bukan salah satu etnik negara berkenaan.
Menurut PBB, terdapat sekitar 750,000 orang Rohingya tinggal di Myanmar dengan kebanyakan mereka menetap di Rakhine.
Lebih 1 juta lagi etnik berkenaan dipercayai hidup dalam buangan di beberapa negara lain. - AFP

No comments: