Pages

Tuesday, May 1, 2012

Bekas menteri minyak Libya ditemui mati

Berita Harian Online | Bekas menteri minyak Libya ditemui mati:


Shukri Ghanem
Shukri Ghanem
Mayat Shukri Ghanem terapung di Sungai Danube di Austria, tiada tanda beliau diserang 

VIENNA: Bekas menteri minyak Libya, yang berpaling tadah dan meninggalkan rejim Muammar Gaddafi untuk menyokong pemberontak, Shukri Ghanem, 69 ditemui mati di Sungai Danube yang mengalir melalui bandar raya ini, kata polis Austria.
Jurucakap polis Roman Hahslinger berkata mayat Ghanem, ditemui terapung di dalam sungai pada awal pagi. Bagaimanapun katanya, mayatnya menunjukkan tiada tanda luaran keganasan.
Beliau berkata punca kematian tidak jelas tetapi menambah, pihak berkuasa akan menjalankan bedah siasat dalam tempoh beberapa hari lagi. 

“Tiada tanda beliau diserang atau kemungkinan seseorang menolaknya. Namun tidak mustahil dia sakit dan jatuh ke dalam sungai,” kata Hahslinger. 

Beliau berkata Ghanem berpakaian lengkap ketika ditemui di dalam sungai namun tiada pengenalan peribadi dibawa selain satu dokumen menyatakan nama syarikat yang juga majikannya. Seorang kakitangan syarikat kemudian dihubungi dan mengesahkan identitinya. 

Hahslinger berkata Ghanem meninggalkan kediamannya awal pagi kelmarin selepas menghabiskan petang Sabtu di rumah bersama seorang rakan. Polis dimaklumkan orang ramai yang melihat mayatnya terapung berhampiran kediamannya di sini, hampir dengan bangunan moden menempatkan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota Austria itu. 
Ghanem adalah bekas perdana menteri Libya yang kali terakhir berkhidmat sebagai menteri minyak di negaranya sehingga 2011. Beliau meninggalkan Libya ke Tunisia dan kemudian Eropah Jun lalu sebagai pemberontak yang menolak untuk menggulingkan Gaddafi, dan kemudian mengumumkan akan menyokong pemberontak. 

Media yang membuat liputan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengingati Ghanem sebagai seorang yang ramah, mudah didekati dan bersedia memberikan nombor telefon bimbitnya kepada wartawan terpilih yang membuat liputan mesyuarat menteri OPEC dan bersedia menjawab panggilan lewat petang daripada mereka. 

Dengan ijazah lanjutan dalam perundangan dan ekonomi, Ghanem memegang jawatan kanan dalam OPEC berpusat di Vienna sebelum pelantikannya sebagai perdana menteri Libya pada Jun 2003, jawatan yang dipegangnya sehingga 2006 sebelum mengambil alih portfolio menteri minyak. 

Ghanem sebagai anggota yang rapat dengan Gaddafi sebelum berpaling tadah. Beliau menegaskan Libya tidak bertanggungjawab atas pengeboman pesawat Pan Am 103 pada 1988 di atas ruang udara Lockerbie, Scotland, yang mengorbankan 270 orang. 

Beliau juga menolak tanggungjawab Libya dalam kejadian tembakan maut 1984 ke atas konstabel British Yvonne Fletcher ketika satu bantahan di hadapan kedutaan negaranya, insiden yang menjurus kepada terputusnya hubungan British-Libya. 

Beliau terus tinggal di sini selepas Gaddafi disingkir dan kemudian dibunuh tahun lalu dalam kempen pemberontak disokong NATO. – AP

No comments: