TEHERAN: Lawatan pemeriksa agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Iran yang gagal membuahkan hasil meningkatkan ketegangan di rantau itu.
Sehubungan itu, Russia memberi amaran mengenai kemusnahan besar jika program nuklear Iran membawa kepada serangan tentera terhadap sekutunya di Asia Barat itu.
Amerika Syarikat melahirkan kekecewaan mengenai kegagalan lawatan berkenaan.
Perancis pula menyifatkan keengganan Iran membenarkan pemeriksa itu memasuki pangkalan utama tentera sebagai ‘peluang yang terlepas’ yang boleh menjejaskan usaha menyambung semula rundingan antara republik Islam berkenaan dengan kuasa dunia.
Bagaimanapun, ketika kebimbangan mengenai Iran mendorong kenaikan harga minyak dunia kepada paras tertinggi dalam masa sembilan bulan, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khameini tidak sedikitpun menghiraukannya.
Beliau langsung tidak menyebut mengenai pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebaliknya mengulangi dakwaan bahawa Iran tidak pernah berusaha memiliki senjata atom dan tidak akan berbuat demikian pada masa depan.
“Memiliki bom atom adalah berdosa besar,” katanya kepada sekumpulan saintis nuklear. Namun, menurutnya, tenaga nuklear adalah penting bagi republik Islam itu.
“Tekanan, sekatan, ancaman dan pembunuhan tidak akan berjaya untuk menyekat Iran meneruskan usaha membangunkan program nuklearnya,” kata Ali.
Pemeriksa IAEA berkata, lawatan mereka selama dua hari yang berakhir kelmarin menemui jalan buntu, sama seperti bulan lalu. Lawatan berjalan dengan baik tetapi tidak ada persetujuan dicapai mengenai usaha untuk mendapatkan secara terperinci berhubung kegiatan nuklear Iran.
“Walaupun selepas membuat permohonan, kami tidak diberikan kebenaran untuk melawat pangkalan tentera di Parchin, tempat kajian reka bentuk peledak nuklear disyaki dijalankan,” kata ketua pemeriksa, Herman Nackaerts sekembalinya ke Vienna.
Seorang diplomat Barat di Vienna berkata, pendirian Iran mengenai Parchin menyebabkan masyarakat dunia tidak yakin terhadap program nuklearnya. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment