Pelancong Israel disyaki bakar hutan

SANTIAGO - Seorang pelancong Israel ditangkap dan kemudiannya dilepaskan semula oleh pihak berkuasa Chile, selepas disyaki menyebabkan kebakaran 11,000 hektar hutan dalam taman negara Torres de Pain.

Roter Singer, 23, mengaku telah mencetuskan kebakaran berlaku di selatan negara itu selepas gagal memadamkan segulung tisu tandas yang dibakar olehnya semasa perbicaraan di Puerto Natales.

Kebakaran yang bermula Selasa lalu merebak begitu cepat berikutan keadaan yang kering dan pihak berkuasa terpaksa memindahkan 700 orang kebanyakannya pelancong dari taman yang terletak 3,000 kilometer di selatan Santiago.

Kerajaan terpaksa menggunakan empat kapal terbang dan sebuah helikopter bersama 300 anggota bomba dan renjer hutan bagi memadamkan kebakaran.

Jumaat lalu, Presiden Sebastian Pinera mengumumkan taman yang dilawati lebih daripada 100,000 pengunjung setiap tahun itu akan ditutup sepanjang bulan ini.

CAPTION : Kebakaran setakat ini telah memusnahkan hampir empat peratus dari jumlah kawasan taman negara itu.