Pages

Saturday, January 28, 2012

PBB minta Iran beku program nuklear





DAVOS, Switzerland - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam menggesa Iran supaya membekukan program nuklearnya dan menyambung semula rundingan dengan kuasa Barat.

Ki-moon berkata, keputusan kini terletak di tangan Iran untuk menunjukkan bahawa negara berkenaan berniat baik.

"Tiada alternatif lain bagi menangani krisis ini selain penyelesaian damai menerusi rundingan," kata Ki-moon dalam satu acara sampingan semasa persidangan Forum Ekonomi Dunia di sini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkeras menyatakan bahawa Teheran tidak menolak untuk berunding dan bersedia duduk semeja bersama kuasa dunia terdiri daripada Britain, China, Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan Jerman bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Mahmoud membuat kenyataan itu kelmarin selepas Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan sekatan import minyak dari Iran.

Sekatan itu menyebabkan timbul kebimbangan bahawa harga minyak akan meningkat.

Enam kuasa dunia berkenaan masih menunggu jawapan Teheran berhubung sepucuk surat yang dihantar Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton pada Oktober lalu yang menekankan bahawa rundingan perlu tertumpu kepada 'persoalan utama' isu nuklear Iran.

Sebelum ini, beberapa rundingan yang diadakan setahun lalu di Istanbul, Turki gagal mencapai sebarang kemajuan.

Menurut Ki-moon, beliau amat bimbang berhubung satu laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) baru-baru ini yang mendapati program nuklear Iran melibatkan dimensi ketenteraan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: