Pages

Monday, July 11, 2011

Terkejut lihat anak bergari, tak sedar diri


ZAINUN menunjukkan gambar  Mohd Azizul ketika ditemui di rumahnya di Kuala Terengganu, semalam.
ZAINUN menunjukkan gambar Mohd Azizul ketika ditemui di rumahnya di Kuala Terengganu, semalam.


Ibu persoal sebab kematian Azizul

KUALA TERENGGANU: “Hanya Allah yang tahu sedihnya perasaan apabila melihat Mohd Azizul tidak sedarkan diri dalam keadaan bergari ketika ditahan di lokap Balai Polis Gong Badak, bersama abangnya pada malam Rabu lalu.

“Saya juga kecewa apabila bertanya kepada anggota polis bertugas mengapa anak saya begitu, tetapi dijawab anak saya hanya berpura-pura tidak sedarkan diri dan akan sedar setengah jam lagi,” kata Zainun Mamat, 52, dari Kampung Tuan Mandak, Batu Enam di sini, semalam.
Zainun yang juga suri rumah, mempertikaikan kelewatan polis menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hingga menyebabkan kematian Mohd Azizul Muda, 24, yang didakwa meninggal dunia kerana kecederaan akibat jatuh motosikal di Taman Semarak.
Beliau berkata, Allahyarham dan abangnya, Mohd Suhaimi, 38, keluar menaiki motosikal ke kedai makan di Taman Semarak, untuk menikmati roti canai selepas menonton siaran langsung perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dengan Taiwan jam 11.30 malam Rabu lalu.

Katanya, kira-kira setengah jam kemudian, dia menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya supaya datang ke Balai Polis Gong Badak kerana dua anak lelakinya itu ditahan polis dan Mohd Azizul cedera di kepala kerana dikatakan jatuh motosikal.

“Saya lihat Mohd Azizul kritikal akibat kecederaan di kepala, malah saya juga tidak mengetahui punca sebenar dia dan abangnya ditahan polis. Selepas berbincang dengan anggota polis di situ, seorang daripadanya memberi jaminan Mohd Azizul akan pulih dan saya diminta pulang tidak lama selepas itu,” katanya.

Zainun berkata, dia datang semula ke balai polis itu kira-kira jam 9 pagi keesokannya untuk melihat keadaan anaknya, tetapi terkejut apabila mendapat tahu Mohd Azizul sudah dihantar ke HSNZ pagi itu tanpa pengetahuannya.
“Saya bergegas ke HSNZ dan terkejut apabila mendapati kepala anak sudah dibedah dan doktor memaklumkan Mohd Azizul meninggal akibat terjatuh motosikal. Saya hairan kerana sebelum ini anggota polis memberi jaminan anak saya tiada sebarang masalah.

“Saya kesal kerana permintaan supaya Mohd Azizul dibawa ke hospital tidak diendahkan polis, sebaliknya berbuat demikian apabila dia sudah nazak dan ini menimbulkan keraguan berhubung punca kematiannya,” katanya.

Zainun berkata, keluarganya bercadang melantik peguam untuk mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya dan mengambil tindakan lanjut. Berita Harian Online | Terkejut lihat anak bergari, tak sedar diri

No comments: