Pages

Wednesday, November 16, 2011

Istana Negara kini di Jalan Duta

Kosmo! Online - Negara:


BENDERA Peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di pekarangan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Upacara pemindahan Istana Negara dari istana yang lama di Bukit Petaling ke istana yang baharu di Jalan Duta di sini dilakukan secara penuh istiadat di sini semalam.

Ia bermula dengan upacara menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana lama yang berusia 83 tahun di tepi Bukit Petaling kira-kira pukul 9 pagi.

Upacara yang dilakukan oleh sekumpulan 10 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu menandakan penutupan rasmi bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu.

Bendera itu kemudiannya diarak keluar dari kawasan istana pada pukul 9.15 pagi dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di hadapan pagar masuk istana dan dibawa ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.

Tengku Farok Hussin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri mengunci pintu masuk utama istana lama menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda melibatkan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.

Selepas itu, Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baharu bernilai kira-kira RM800 juta itu menandakan pemindahan rasmi tersebut.

Istiadat itu dimulakan dengan perbarisan oleh 52 anggota RAMD serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda.


'via Blog this'

No comments: