|
PERTH, Australia - Kalangan 17 delegasi Komanwel terkandas di bandar ini semalam selepas Qantas bertindak menghentikan semua penerbangan domestik dan antarabangsanya, kata beberapa pegawai.
Perth yang merupakan ibu negeri wilayah Australia Barat terletak sekitar 3,300 kilometer dari bandar raya Sydney dan pusat-pusat penempatan penduduk di pantai timur Australia.
Ketua negara dan pegawai kanan 54 negara bekas tanah jajahan British berkumpul di bandar raya ini untuk Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) yang berlangsung hujung minggu ini.
CHOGM mengesahkan 17 delegasinya sudah menempah penerbangan Qantas untuk keluar negara selepas sidang berkenaan berakhir hari ini.
Namun, mereka terkandas ekoran Qantas menghentikan semua penerbangannya tanpa notis semalam susulan pertelingkahan industri dengan pekerjanya.
"Jawatankuasa bertindak CHOGM 2011 masih berbincang dengan sejumlah delegasi untuk mengaturkan pengangkutan lain untuk mereka," kata seorang jurucakap kepada agensi berita AFP.
Beliau enggan mendedahkan dari mana delegasi-delegasi terbabit berasal tetapi memberitahu, Qantas menyediakan perkhidmatan meluas yang turut merangkumi negara-negara kepulauan Pasifik hingga ke Afrika.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Qantas, Alan Joyce berkata, semua 108 pesawat syarikat berkenaan tidak akan berlepas sehingga beberapa kesatuan sekerja yang mewakili juruterbang, mekanik dan staf lain mencapai satu persetujuan dengan Qantas berhubung isu gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik.
"Kami memutuskan untuk menghentikan penerbangan domestik dan antarabangsa Qantas secara serta-merta," kata Joyce dalam satu sidang media di Sydney semalam.
Menurutnya, kakitangan syarikat itu tidak perlu datang bekerja dan tidak akan dibayar gaji bermula esok. - Agensi
No comments:
Post a Comment