WASHINGTON - Amal Al -Sadah yang merupakan isteri termuda ketua kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden menjadi rebutan antara Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan selepas Islamabad kelmarin enggan membenarkan AS menyoal siasatnya.
Amal penting kepada kedua-dua pihak kerana dia mengetahui tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam operasi membunuh Osama di samping maklumat tentang kumpulan Al-Qaeda yang diketuai suaminya.
Pakistan bagaimanapun melarang AS menyoal siasat Amal, 27, yang kini dirawat di sebuah hospital tentera di Rawalpindi kerana kakinya cedera akibat ditembak.
Wanita berasal dari Yemen itu menerpa ke arah anggota komando AS untuk melindungi suaminya semasa rumah tempat tinggal mereka di bandar Abbottabad, Pakistan diserbu pada malam Ahad lalu.
Anggota komando itu menembak kaki Amal tetapi dia tidak dibawa bersama oleh pasukan komando AS selepas sebuah helikopter dalam operasi itu terhempas di pekarangan rumah tersebut.
Amal kemudian ditangkap oleh pasukan keselamatan Pakistan.
Sebelum ini, AS melaporkan dia ditembak mati anggota komando selepas Osama menggunakannya sebagai perisai manusia untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, AS menukar cerita pada Selasa lalu dengan menyatakan Amal hanya cedera akibat ditembak dan dia tidak menjadi perisai manusia untuk melindungi Osama.
Perkahwinannya dengan Osama dilaporkan diatur bagi mengukuhkan hubungan dan pengaruh ketua Al-Qaeda itu di Yemen.
Amal dilaporkan berbangga kerana dapat menjadi isteri Osama.
Ketua Al-Qaeda itu telah menghantarnya pulang ke Yemen kerana bimbangkan keselamatannya tetapi dia berjaya kembali ke Pakistan walaupun dipantau oleh agensi perisikan AS.
Menurut majalah Time, wanita itu memberitahu penyiasat Pakistan bahawa mereka tinggal di rumah tersebut sejak tahun 2005.
Menurut Time, seramai enam saudara- mara Osama termasuk enam kanak-kanak dan seorang isterinya dibawa ke hospital di Rawalpindi untuk dirawat selepas pasukan komando AS melakukan serbuan. - Agensi
No comments:
Post a Comment