Pages

Sunday, April 17, 2011

Sosej makanan Yuri Gagarin



GAGARIN bergambar kenangan bersama isterinya, Valentina dan anak perempuan mereka, Yelena pada 1 Jun 1960.



ANJING, tikus bahkan monyet dan bakteria sudah dihantar ke angkasa lepas, tetapi pada 12 April 1961 – 50 tahun lalu, tibalah giliran manusia pula.
Ketika Amerika ghairah melakukan projek yang sama, mereka telah dikalahkan oleh sebuah lagi kuasa besar dunia, Soviet Union. Manusia pertama yang terpilih melakukan perjalanan bersejarah itu ialah Yuri Gagarin yang ketika itu berusia 27 tahun.
Anak kepada seorang tukang kayu itu dilahirkan di Kampung Klushino dekat Gzhatsk, 240 kilometer ke timur laut Smolensk. Gagarin dilatih untuk menjadi pembuat acuan besi di ladang tempat bapanya bekerja tetapi apabila dia dihantar untuk menjalani latihan lanjut di sebuah sekolah teknik, dia lebih tertarik kepada bidang penerbangan. Selepas habis persekolahan pada tahun 1955, dia memasuki sekolah kadet Tentera Udara Soviet dan lulus pada 1957.
Calon
Pakar-pakar perubatan di Rusia menekankan yang angkasawan pertama negara itu mesti seorang juruterbang kerana mereka perlu melalui situasi g-forces yang tinggi. Mereka juga harus pintar, cergas dan memiliki ketinggian tidak melebihi 1.75 meter dan berat kurang daripada 72 kilogram (kg).
Pada tahun 1959, iaitu semasa era Perang Dingin Rusia-Amerika memuncak, Rusia mula menyaring ramai juruterbang terlatih. Di pihak Amerika, mereka sudah pun mengumumkan tujuh orang calon angkasawan pada awal tahun dan mendapat publisiti besar-besaran. Pada penghujung tahun berkenaan, barulah Rusia memilih 20 orang calon angkasawan tetapi identiti mereka dirahsiakan.
Ketua Program Angkasa Lepas Rusia, Sergei Korolev, bertegas dengan angka 20. “Amerika memilih tujuh lelaki tetapi kami perlukan lebih ramai calon,” katanya.
Ujian demi ujian selepas itu telah menyenarai pendek enam calon dengan calon dalam senarai teratas ialah Gagarin diikuti Herman Titov.
Angkasawan pertama itu nanti akan mengembara menggunakan Vostok, sebuah kapal angkasa yang memanfaatkan kuasa tujahan roket Semyorka R-7. Roket itu sebelum ini direka untuk melancarkan peluru berpandu antara benua pertama di dunia.
Terbunuh
Kapal angkasa Vostok telah beberapa kali diuji membawa anjing hidup ke angkasa lepas. Haiwan itu dipakaikan pakaian angkasawan sebenar dan diletakkan tag pengenalan sebagai Ivan Ivanov.
Sebenarnya, badan Gagarin lebih berat daripada Titov dan terdapat cadangan supaya calon angkasawan haruslah seorang yang ringan. Tetapi Korolev meyakinkan pihak kerajaan bahawa Gagarin ialah orangnya dan Korolev sanggup mengeluarkan beberapa peralatan dari Vostok bagi mengurangkan berat kapal.
Pada 12 April, Gagarin dibawa ke pad pelancaran. Sebelum menaiki bas menuju ke kapal angkasa itu, Gagarin kencing di tayar belakang kenderaan berkenaan. Dikatakan perbuatan itu kemudian menjadi ikutan para angkasawan Rusia.

Salah satu perkara terakhir yang dibuat Gagarin sebelum berlepas ialah memastikan bekalan sosej yang dibawa mencukupi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Moscow.
“Di dalam penutup itu ada hidangan makan malam, minum malam dan sarapan pagi,” katanya.
“Saya faham,” balas Gagarin.
“Awak ada sosej, gula-gula dan jem untuk diambil bersama teh,” kata Korolev lagi. “63 keping – awak akan gemuk!” Gagarin secara berseloroh menjawab: “Perkara paling penting ialah ada ‘sosej’ di sana.”
Selama setengah abad, perbualan yang dianggap biasa itu menjadi sebahagian daripada rahsia besar Rusia hinggalah ia didedahkan dalam satu dokumen baru-baru ini.
Dokumen itu turut menolak andaian Gagarin dibunuh oleh pemerintah Rusia yang cemburu atau paranoid. Teori konspirasi menyebut dia diarah bunuh oleh pemimpin Soviet, Leonid Brezhnev atas kesalahan yang tidak jelas atau tidak setia kepada parti.
Pada pukul 9.07 pagi waktu Moscow, Vostok dilancarkan dari Baikonur Kazakhstan. Gagarin dibekalkan sebuah anak patung yang akan terapung bagi menandakan dia sudah memasuki ruang tanpa graviti.
Cuma 78 minit diperlukan untuk Vostok keluar dari orbit. Kapal itu berpusing-pusing di angkasa lepas. Selepas kapsul yang dihuni Gagarin terpisah daripada kapal itu, ia mula menjunam jatuh ke bumi.
Tujuh kilometer sebelum terhempas ke bumi, Gagarin menekan butang tendang keluar. Dia selamat mendarat menggunakan payung terjun. Dia ditemui oleh seorang petani wanita yang bimbang Gagarin ialah seorang perisik asing. Namun selepas Gagarin bercakap dalam bahasa Rusia, wanita itu terus menjadi peramah.
Pengembaraan itu berlangsung selama 108 minit. Gagarin dinobatkan sebagai wira negara dan menjadi terkenal di seluruh dunia termasuk menjadi penghias muka depan majalah Time.
Dia tidak pernah kembali ke angkasa lepas dan meninggal dunia pada tahun 1968 dalam satu nahas kapal terbang.
Kosmo! Online - Rencana Utama

No comments: