Pages

Monday, April 18, 2011

Kebocoran radiasi dapat dikurang dalam masa tiga bulan

TOKYO 17 April - Operator loji nuklear Fukushima di Jepun hari ini mengumumkan rancangannya untuk mengurangkan kebocoran radiasi dalam masa tiga bulan dan menstabilkan kesemua reaktor di kompleks tersebut dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.
Operator, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengumumkan jadual tersebut pada sidang media di sini, lebih lima minggu selepas gempa bumi kuat dan tsunami merosakkan sistem penyejukan di loji tenaga nuklear Fukushima itu yang menempatkan enam reaktor.
Radiasi telah merebak ke udara, tanah dan laut dari loji tepi pantai di timur laut Jepun itu, sementara pasukan kecemasan menggunakan air laut untuk menyejukkan reaktor dan menaikkan paras air kolam penyejuk bagi mencegah kecairan rod tenaga nuklear.
Pengerusi TEPCO, Tsunehisa Katsumata berkata, syarikat itu menetapkan sasaran untuk mula mengurangkan radiasi daripada kompleks yang rosak itu dalam tempoh tiga bulan.
TEPCO dalam kenyataan berasingan berkata, dalam masa enam hingga sembilan bulan, mereka berharap untuk mencapai 'cold shutdown' kesemua enam reaktor iaitu situasi yang stabil apabila suhu menurun dan kebocoran radiasi merosot dengan mendadak.
"Sebagai sasaran jangka pendek, kami menetapkan dua langkah, iaitu langkah satu untuk mengurangkan tahap radiasi, manakala dalam langkah kedua, kami mahu mengawal kebocoran bahan radioaktif dan mengawal tahap radiasi dengan banyak," kata Katsumata.
TEPCO juga akan memberi fokus awal untuk mencegah letupan hidrogen dalam reaktor satu, dua dan tiga dengan menyuntik nitrogen, dan mencegah kebocoran lanjut air radioaktif ke kawasan persekitaran.
Menurut Katsumata, beliau tidak pasti bila puluhan ribu penduduk yang terpaksa melarikan diri disebabkan krisis nuklear itu boleh pulang ke rumah masing-masing.
Namun, Menteri Perdagangan, Banri Kaieda berkata, sesetengah mereka boleh pulang dalam masa enam hingga sembilan bulan.
"Sudah tentulah sebilangan lagi penduduk tidak akan dapat balik ke rumah mereka, tetapi kami akan memaklumkan semua orang," katanya. - AFP/AP, Utusan

No comments: