STOCKHOLM - Kematian ikan dan burung kini merebak selepas penemuan awal 5,000 ekor burung hitam jatuh dari langit secara misteri yang pada teori awalnya disebabkan letupan bunga api di bandar Beeba, negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, pada Selasa lalu, bangkai 50 ekor burung ditemui di sebatang jalan raya di bandar Falkoping, Sweden.
Pada hari yang sama juga, kira-kira 200 ekor burung ditemui mati di sebuah lebuh raya di Texas, AS yang tanggapan awal dipercayai dilanggar kereta.
Sebelum ini, lebih 100,000 ekor ikan ditemui mati di Sungai Arkansas, di negeri Arkansas, AS yang dipercayai mati akibat perubahan cuaca pada minggu lalu.
Pada Isnin lalu, gambar yang dirakamkan Jabatan Alam Sekitar Maryland, AS menunjukkan dua juta ekor ikan terdampar di Teluk Chesapeake.
Alasan jurucakap jabatan itu, Dawn Stolzfus menyatakan, ikan itu mati pada minggu lalu disebabkan cuaca sejuk.
Namun apa yang menjadi misteri ialah kenapa ikan itu tidak berenang ke kawasan yang suhunya lebih panas.
Di Brazil, sebanyak 100 tan ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama telah ditemui di pesisir pantai Parana, berhampiran Nicaragua.
Presiden Persekutuan Koloni Nelayan Parana, Edmir Manoel Ferreira berkata, bangkai-bangkai ikan itu ditemui sejak Khamis minggu lalu.
Beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di New Zealand pada Selasa lalu.
Di Britain, sebanyak 40,000 ekor ketam setan merah turut mati di Kent kelmarin.
Sementara itu, beribu-ribu ekor bangkai ikan ditemui terapung di sungai Spruce, bandar Port Orange, negeri Florida pada Selasa lepas.
Terdapat juga golongan yang percaya kematian pelbagai spesies haiwan itu merupakan petanda ketibaan hari kiamat pada 2012 seperti yang diramalkan tamadun kuno Maya di Mexico.
Di Internet pula, heboh mengenai teori konspirasi tentang eksperimen-eksperimen rahsia oleh kerajaan sebagai penyebab fenomena misteri itu.
Setakat ini, saintis-saintis masih melakukan satu siri ujian bagi mengenal pasti punca sebenar pelbagai spesies haiwan itu mati. Keputusan ujian tersebut bagaimanapun, hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi. - Agensi
No comments:
Post a Comment